Saturday, May 18, 2013

Kembara Ilmu [13.05.2013]

Teks : Iryani Ahmad
Gambar : Google

Kenangan menempuh perjalanan untuk kembara ilmu utara-selatan beberapa tahun lepas benar-benar mengajar kami erti insan luar biasa. Daripada petikan majalah Gen-Q,

" Beranikan diri untuk mengembara! Anak muda yang mempunyai masa dan tenaga, kembara ilmu akan menjadikan kita insan luar biasa."

Kami ini si miskin yang tinggal di bandar. Allah swt. Kalau difikirkan pada masa itu, gaji suami yang masih kecil takkan cukup untuk menampung kehidupan hingga ke hujung bulan. Alhamdulillah, sentiasa ada berlebihan. Masih punya ruang untuk pergi ke majlis taklim di masjid. Ketika beras dan bekalan bahan mentah dah habis di dapur, ada sahaja makanan mewah yang disediakan di sana. Hasil sedekah hartawan lagi dermawan.

Allah swt bagi nikmat yang paling besar iaitu nikmat sihat. Tak pernah pula kami sakit sepanjang tempoh getir itu. Wang yang ada cukup untuk fotostat bahan-bahan pengajian yang diperlukan. Beli alat-alat tulis yang berkaitan.

Anak riang peneman belajar pula sentiasa ceria tak meragam. Seolah-olah mengerti si ibu tak punya banyak masa untuk melayannya. Masa yang ada digunakan semaksimumnya untuk menelaah. Keperluan bayi hanya beli ketika usianya mulai satu tahun. Sangat banyak sedekah dan hadiah yang diterima untuk keperluan bayi cukup untuk bekalan setahun. Allahuakbar!

Pengalaman ini sangat luar biasa hebatnya. Kesan tarbiah secara langsung dari Allah swt membuatkan diri suami terutamanya sangat kuat kebergantungan kepada-Nya. Ketika mula berkeluh kesah kerana mula terasa lelah berulang alik dari selatan ke utara setiap bulan, suami meyakinkan bahawa rezeki itu semua datang dari Allah swt. Subhanallah.
Post a Comment