Saturday, June 15, 2013

Rutin Harian Seorang Suri Rumah

Tulisan : Iryani Ahmad

Segala puji bagi Allah S.W.T, Tuhan sekalian alam. Alhamdulillah hari ini, Jumaat penghulu segala hari telah memulakan minggu baru. Sudah lama saya mahu kongsikan apakah rutin harian saya setelah bergelar 3 tahun sebagai ibu suri rumah tangga.

Pada dua tahun pertama perkahwinan saya masih lagi bergelar pelajar sepenuh masa ijazah sarjana melalui penyelidikan. Tetapi saya belajar secara jarak jauh kerana mahu menetap bersama suami dan setiap bulan mesti berjumpa dengan supervisor untuk menyemak tugasan. Pada semester akhir pengajian, saya terpaksa berhenti pengajian atas sebab-sebab yang sangat menyedihkan. Cukuplah hanya Allah dan suami sahaja yang tahu rahsia ini.

Pada masa saya masih bergelar pelajar walaupun sudah bergelar isteri dan ibu sangat berbeza dengan menjadi suri sepenuh masa. 

Pagi

Pelajar - Bangun awal seawal pukul 4.30 - 5.00 pagi. Solat sunat dahulu. Waktu untuk membaca jurnal atau meng'edit' tesis sampai azan subuh.  Pagi waktu yang segar untuk menyerap segala ilmu. Kadang-kadang akan bersahur pada waktu ini bersama suami sebab mahu jimat belanja dapur.

Suri - Kalau bangun awal pukul 5.30 dapatlah buat solat sunat. Sebenarnya, kini saya sedang disiplinkan diri untuk bangun qiam pada setiap hari Jumaat. Antara fadhilat yang saya dengar daripada Ustaz Zahazan adalah dapat menguatkan ingatan dan menajamkan fikiran. Perbuatan ini adalah amalan para salafussoleh. 

Jika terlewat bangun sampai pukul 6.00 pagi tu, saya akan berjemaah bersama suami. Kebiasaannya suami akan berjemaah di surau atau masjid bersama Fatih, 2 tahun. Usai pulang, kami membaca Ma'thurat bersama-sama. Alhamdulillah terasa sangat tenang dan lebih bersemangat untuk melaksanakan tugas sebagai seorang isteri dan ibu.

Jika solat subuh berjemaah, suami akan membelikan nasi lemak sebagai ganjaran. Senang hati saya tak perlu memasak sarapan. Jika tak sempat berjemaah, selalunya saya masak sarapan yang mudah seperti jemput-jemput, lempeng pisang, roti telur, bihun goreng, bihun sup atau spageti goreng. Alhamdulillah kami dapat bersarapan bersama setiap pagi. Kalau ada lebih makanan sarapan, saya akan bungkuskan untuk suami bawa ke tempat kerja.

Selepas memasak sarapan, saya terus menanak nasi dan memasak lauk untuk makan tengahari. Lauknya sangat mudah dan cepat dimasak seperti sayur masak bening, ikan goreng, ikan kukus, ikan bakar atau sup ayam. Semasa suami cuti barulah boleh masak lauk istimewa seperti nasi ayam dan nasi minyak. Saya suka memasak semua pada waktu pagi agar tak kelam kabut nanti apabila semua sedang kelaparan.

Pelajar - Lepas suami pergi bekerja, saya terus mandikan anak, menyusukannya dan tidurkannya. Kemudian, saya sambung membaca jurnal untuk membuat tugasan dalam programming Maple, Mathlab dan C++. Ketika zaman bujang dulu di universiti, saya akan belajar dari pukul 9 pagi hingga 12 tengahari. Selepas berkahwin pun sama sahaja, cuma sesekali saya akan berhenti untuk menyusukan anak atau menukar lampinnya. Suasana belajar pun lebih kurang sama susun atur perabotnya iaitu hanya ada meja belajar, laptop, sebuah sofa dan rak buku di ruang tamu. Tiada televisyen di rumah kami hingga sekarang.

Suri - Lepas suami pergi bekerja, saya terus mandikan anak, menyusukan si adik bayi dan tidurkannya. Saya terus basuh baju dan biarkannya hingga selesai. Kemudian, saya akan mengajak si abang melakukan aktiviti mencerdaskan minda seperti mewarna menggunakan krayon. Contohnya pada hari ini, saya mengajak si abang Fatih yang berumur 2 tahun melakukan aktiviti seni menguli adunan tepung, garam kasar dan air berwarna. Aktiviti ini boleh melatih kemahiran motor kasar Fatih. Biasanya dalam tempoh 1 jam, Fatih bermain saya akan mengajaknya menyidai baju bersama-sama dan mengemas rumah.

Pada pukul 10 pagi, saya akan minum pagi bersama-sama Fatih. Biasanya kudapan buah-buahan atau kurma bersama susu kambing. Fatih akan tidur sebentar pada waktu ini hingga tengahari. Pada waktu inilah, saya akan memotong blok coklat menjadi lebih kecil untuk tempahan pelanggan.

Tengahari

Suami akan balik ke rumah untuk makan tengahari bersama-sama. Alhamdulillah, terima kasih Ya Allah jarak rumah kami sangat dekat dengan pejabat suami. Selepas makan tengahari, kami akan solat zohor berjemaah.

Petang

Pelajar - Ketika anak tidur pada waktu ini biasanya saya melakukan kira-kira manual dalam tugasan belajar untuk menghilangkan rasa mengantuk. Saya mengambil bidang matematik, jadi banyak sekali tugasan yang melibatkan pengiraan. Tapi jika keletihan, saya tertidur juga bersama bayi.

Suri - Selalunya bayi saya akan tidur antara pukul 2 hingga 4 petang. Fatih sudah tak mahu tidur petang dan waktu ini saya akan melakukan aktiviti lain mencerdaskan minda seperti bermain bunyi haiwan atau berbual-bual dengannya tentang harapan saya padanya 20 tahun akan datang. Selepas itu, saya akan bersiap-siap untuk solat asar.

Sementara menunggu suami pulang, saya akan menyiapkan minum petang yang ringkas  seperti pisang rebus, ubi rebus keropok lekor atau roti .sandwich. Fatih sangat suka menolong ketika menyiapkan juadah minum petang.

Selepas minum petang bersama, suami akan memandikan anak-anak dan bermain-main sama-sama. Tugasan ini perlu supaya anak-anak dapat merasakan belaian tangan daripada ayah mereka pula. Saya cepat-cepat menyiapkan juadah makan malam yang biasanya sama sahaja dengan lauk tengahari tadi tapi saya tambah lauk baru yang ringkas seperti sambal ikan bilis dan telur dadar. Sambil-sambil tu, dapatlah rehatkan diri sebentar melakukan hobi iaitu membaca buku. Kini, dalam proses nak tamatkan buku bertajuk Hasan al-Banna.

Selepas semua sudah siap mandi, kami makan malam paling lewat pada pukul 7 malam. Kemudian, kami akan bergerak ke masjid atau surau untuk solat berjemaah di sana. Nanti saya akan kongsikan tips membawa anak kecil dan bayi solat berjemaah di masjid, InsyaAllah.

Malam

Pada setiap malam,di masjid dan surau di kawasan kediaman kami akan mengadakan ceramah agama antara maghrib dan isyak. Peluang ini tak disia-siakan untuk saya menimba ilmu untuk dijadikan pengisian rohani. Pada waktu ini juga saya dapat menambah kenalan dengan jemaah wanita yang hadir.

Selepas solat isyak, anak-anak biasanya sudah tertidur di dalam perjalanan balik kerana kepenatan berkejaran berlari di dalam Masjid Tunku Mizan Zainal Abidin yang sangatlah luas itu. Sebelum tidur, kami akan bertadabbur bersama-sama dan saya akan menyelesaikan beberapa tugasan lain seperti membuat coklat.


Post a Comment