Monday, July 1, 2013

Seni Taekwondo vs Seni Ujian

Teks : Iryani Ahmad
Gambar : Google

Taekwondo

Semasa saya masih belajar di sekolah menengah dan di universiti suatu masa dahulu, saya aktif dalam Kelab Taekwondo. Tujuan utama saya menyertai aktiviti kelab seni mempertahankan diri ini adalah untuk mempertahankan diri daripada dingorat oleh pelajar lelaki.



Aktiviti ini berjaya meningkatkan motivasi dalaman saya untuk menjadi lebih berani dan yakin terhadap diri sendiri. Walau pun tak pernah lagi menendang pelajar lelaki yang mengorat saya. Alhamdulillah, suami tak pernah mengorat saya dahulu.

Bukan topik mengorat yang saya mahu fokuskan.

Dalam Taekwondo, peringkat yang paling rendah adalah yang memakai tali pinggang berwarna putih. Setiap kali kita mahu tukar warna tali atau mahu meningkatkan kemahiran sedia ada, pelajar perlu melalui ujian. Dalam ujian itu, terdapat beberapa orang master yang akan menilai samada pelajar itu berkelayakan ataupun tidak. Pelajar akan cuba buat sehabis baik langkah taekwondo bersama sparing partner. Pelajar akan mengetahui keputusan samada lulus atau gagal pada masa itu juga.

Ujian

Dalam kehidupan kita sebagai manusia di atas bumi ini, semua orang tak kira Muslim atau tidak akan melalui fasa-fasa getir dalam kehidupan mereka. Fasa-fasa getir inilah yang dinamakan ujian. 

Begitu juga sebagai seorang anak perempuan. Mereka akan melalui fasa anak dara, kemudian fasa dalam pemilihan jodoh. Selepas berkahwin, fasa menjadi seorang isteri. Tak lama kemudian, fasa menjadi seorang ibu. Selepas dua dekad, fasa menjadi seorang ibu mentua dan kemudiannya menjadi seorang nenek.

Setiap fasa ini, kita tak akan terlepas melalui ujian-ujian yang sangat perit jiwa dan raga. Keluh kesah dan air mata pasti akan mengiringi sepanjang kita melalui ujian getir ini. Bukankah manusia itu diciptakan dengan keadaan sentiasa berkeluh kesah?

"Sesungguhnya manusia diciptakan bersifat keluh kesah lagi kikir." Surah Al- Ma'arij : ayat 19

Apabila kita telah melepasi tahap ujian dalam setiap fasa tadi sebenarnya di sisi Allah, Allah telah mengangkat darjat kita di sisi-Nya sebagai seorang Muslim dan Mukmin. Tetapi dengan syarat! Syarat  untuk diangkat darjat di sisi Allah haruslah disertakan dengan jalan berjihad dan mujahadah.

Berjihad menegakkan kalimah Allah dan Rasul-Nya serta bermujahadah melawan nafsu dalam diri. Oleh  itu,  mujahadah adalah jalan kepada kita untuk mendapat petunjuk daripada Allah S.W.T  supaya petunjuk  itu dapat  masuk  ke dalam hati dan iman  kita. Perlaksanaan mujahadah ini, jalan yang betul perlu diikuti iaitu jalan yang ditunjukkan oleh Rasulullah S.A.W. 

Keputusan

Bezanya dengan ujian dalam Taekwondo, kita akan tahu keputusan ujian pada masa itu juga. Tetapi dalam kehidupan di dunia ini, keputusan ini samada berjaya atau gagal kita hanya tahu pada Hari Pembalasan di Padang Masyar kelak.

Wallahua'lam.

Post a Comment