Saturday, September 7, 2013

Teknik Melahirkan Bayi dengan Cara Paling Mudah & Seronok

Teks : Iryani Ahmad
Gambar : Google

Ya Allah, betul ke tajuk entri ni? Saya jawab seronok. Subhanallah. Inilah pengalaman peribadi yang telah dilalui. Tapi, baru dua kali melalui pengalaman bersalin. bukan dua puluh kali. Ternyata ia bukan trauma.


Pengalaman Pertama

Izinkan saya menceritakan pengalaman bersalin. Ternyata perjuangan sebenar bagi seorang perempuan adalah setelah dia berkahwin.

Pengalaman ketika menunggu waktu untuk melahirkan anak pertama sangat mendebarkan. Orang kata sakit sangat. Ada orang lain kata seperti sakit senggugut tapi 10 kali ganda lebih dasyat. Aduhai, berdebar sangat rasa apatah lagi masa tu kandungan dah mencecah 38 minggu.



Selepas keluar tanda bersalin iaitu tompokan darah yang sedikit, suami bawa ke hospital. Malangnya hospital di Putrajaya dan sekitarnya tidak terima masuk sekiranya bukaan serviks di bawah 3cm. 

"Bagaimana nak tahu bukaan serviks itu sudah 3cm dan lebih?" 

Begitulah soalan saya kepada doktor. Kira-kira sudah 3 kali saya asyik berulang alik ke hospital kerana menyangkakan sudah hampir bersalin. Pada masa tu, dah mula rasa perut kejang dan sakit.

Justeru kami terus ambil keputusan mahu pulang ke kampung. Dalam perjalanan, saya elok sahaja. Tak pula sakit. Pada tengahari keesokan harinya, saya pergi ke Hospital Pontian dan diterima masuk ke sana. Jururawat suruh masuk sahaja lagipun di dalam wad lengang sahaja. Duduk-duduk rehat katanya.

Memang betul saya duduk-duduk rehat sahaja. 2 hari 2 malam bercuti di hospital. Makan, tidur, baca Al-Quran dan solat apabila tiba waktu solat. Sekali sekala saya dukung bayi yang baru dilahirkan. Cium kuat-kuat. Comel! Subhanallah...

Kesakitan yang Tenang

Kisah semangat ini bermula apabila rakan sebilik saya yang juga seorang ustazah mahu melahirkan anaknya yang ketiga. Pada malam kedua saya di sana, beliau memberitahu saya akan gerak hatinya mahu melahirkan anaknya pada malam ini. Hati ibunya gelisah kerana sudah 2 hari meninggalkan rumah. Apa cerita pada 2 anaknya yang lain itu.

Saya melihatnya hanya terbaring mengiring sahaja. Kadang-kadang duduk mahu minum air. Beliau mengiring ke arah saya. Saya melihat wajahnya dengan jelas. Beliau selalu menutup matanya. Tapi bukan tidur. Beliau sedang bercerita pada saya akan nikmatnya menjadi seorang ibu. Saya sedang mendengar ceramah agama 'live' daripada seorang ibu yang bertarung kesakitan mahu melahirkan anak! 


Saya teringat-ingat wajahnya yang manis itu. Banyak tersenyum apabila berkata-kata. Tiba-tiba beliau turun dari katil dan segera betulkan kainnya. Kainnya basah! Baru saya tahu itulah air ketuban. Banyak hingga menitik ke lantai. Saya tawarkan diri mahu memanggil jururawat. Ketika itu sudah pukul 4 pagi. Kami tak tidur malam itu. Beliau menolak kerana mahu berjalan sendiri. Beliau jalan perlahan-lahan.

Saya hanya melihatnya berjalan sehingga beliau masuk ke bilik bersalin. Tak sampai 15 minit, saya terdengar suara bayi menangis.

Allahuakbar!

Selepas subuh, apabila beliau masuk sahaja ke bilik, saya dengan tak sabarnya bertanya padanya dengan soalan bertalu-talu.

"Akak, senangnya bersalin! Tak sakit ke?" 

Beliau tersenyum sahaja. Beliau berdoa semoga saya bersalin sebelum beliau dibenarkan keluar. Beliau mahu membimbing saya.

Tengahari itu juga saya sudah terasa sakit. Sakit yang tak pernah dialami sebelum ini. Menggeletar gigi dan seluruh tulang mahu menahan rasa sakit ini. Air mata keluar tanpa sedar.

Pukau

Kakak sebilik tadi terus menerus memukau saya dengan alunan zikir. Beliau menyuruh saya berzikir bersama-sama. Kata-kata nasihat terus menerus masuk ke telinga saya. Masyaallah, sampai sekarang masih terngiang-ngiang nasihatnya sepanjang tempoh paling getir dalam hidup saya.

Pada masa inilah, kurma masuk ke mulut saya terus menerus. Sentiasa mengunyah kurma sepanjang masa. Apabila dahaga, minum air masak sahaja. Begitulah pesannya.

Bersalin

Alhamdulillah, suami dapat menemani saya ketika di dalam bilik bersalin. Rupa-rupanya bayi saya berada pada kedudukan mendongak. Maka, saya mengambil masa 1 jam ketika proses mahu meneran. Sangat lama. Alhamdulillah, jururawat bagi saya masa dan tak paksa ketika proses mengeluarkan bayi. 

Saya rasa bertenaga pada waktu tersebut. Malah, sehingga waktu selepas melahirkan. Saya aplikasikan juga teknik memakan kurma semasa mahu melahirkan anak kedua. MasyaAllah, kali ini rasa lebih bertenaga. Yelah, 2 kotak kurma saya makan. 

Rasa bersalin kali kedua, perasaannya sama sahaja seperti selepas membuang air besar. Tak sakit dan rasa lega sangat kat perut! Boleh baca cerita saya bersalin anak kedua di sini. Tetapi, awas ceritanya sangat panjang berjela.

Subhanallah. Segala pujian hanya milik Allah SWT.

Khasiat Kurma

Allah telah memerintahkan Maryam supaya memakan kurma ketika sedang sakit dan lemah ketika mahu bersalin dalam surah Maryam ayat 25. Kajian sains telah membuktikan bahawa memakan kurma bukanlah budaya Arab semata-mata ataupun hanya sesuai untuk cuaca beriklim panas sahaja. Kurma adalah ubat terbaik bagi wanita yang sedang sakit mahu melahirkan anak mengatasi ubat dadah yang mengakibatkan pelbagai kesan sampingan lain.

Boleh baca lagi tentang khasiat kurma di sini. Artikel bertajuk Khasiat Kurma.

Menjadikan diri sendiri sebagai testimoni kerana memakan kurma sepanjang proses melahirkan anak. Dalam perkataan yang lebih mudah, penawar ketika sakit kontraksi adalah kurma. Badan yang letih menahan kesakitan demi kesakitan sepanjang proses kelahiran bayi dapat diatasi dengan makan kurma. 

Kurma menyumbang tenaga dengan serta merta. Tubuh terus kekal bertenaga dan terasa segar menempuh kesakitan demi kesakitan. Sejurus selepas bayi dilahirkan, lebihan kurma di dalam mulut ibu boleh terus dioleskan sedikit ke dalam mulut bayi, ia dinamakan tahnik. Sebaik-baiknya dilakukan sebelum bayi menyusu ibu buat pertama kali. Rujukan daripada buku Tarbiatul Aulad Fil Islam karangan Syeikh Nasih Ulwan.

Ombak Kontraksi

Bagi bakal ibu yang pertama kali akan merasakan nikmat sakit bersalin, kesakitan itu akan datang dan pergi seperti ombak laut. Malah ombak kontraksi yang datang seterusnya adalah lebih kuat dan menyakitkan. Tak usah lawan. Cukup hanya tenangkan diri. Bertuahlah wanita kerana setiap kesakitan itu menghapuskan dosa kita yang lalu. Diakui memang sangat menyakitkan. Namun, ia dapat diatasi dengan persediaan fizikal, mental dan rohani yang cukup.




Persediaan fizikal, mental dan rohani

Persediaan fizikal adalah persediaan tubuh badan menempuh hari bersejarah untuk bergelar seorang ibu. Sejauh mana tubuh badan kita dah bersedia. Allah SWT sudah menciptakan tubuh badan wanita dengan sempurna dan lengkap dalam perjuangan melahirkan seorang manusia di muka bumi ini. Namun, sang ibu juga perlu bersedia sebelum pergi berperang berjuang di medan jihad melahirkan seorang bayi. Jika tidak, kita akan berasa sangat sakit hingga emosi dan mental akan terganggu seterusnya meninggalkan rasa trauma dalam diri, tidak mahu lagi mengandung dan melahirkan anak selepas ini.

Antara cadangan yang boleh dilakukan adalah senaman di bahagian pelvis. Lakukan yang mudah seperti menumbuk sambal di lesung batu sambil mencangkung. Tiada penggunaan blender sepanjang mengandung. Ia boleh memberi manfaat pada kekuatan otot pelvis dan perineum.

Persediaan mental dan rohani pula bermaksud sejauh mana kebergantungan si ibu pada Allah SWT. Sepanjang mengandungkan bayi sejauh mana penghayatan ibu pada amalan-amalan yang dapat mendekatkan dirinya pada Allah SWT. Tenggelam pada nikmat zikir dan selawat atas Nabi SWA hingga kesakitan ketika bersalin tidak dirasai sama sekali. Teknik pukaukan diri dengan zikrullah ini harus dilatih sejak awal mengandung lagi. Perkara ini tidak mustahil boleh dilakukan pada diri kita yang biasa-biasa sahaja ini.

Melalui pengamatan sangat kerdil ini, kini kebanyakan ibu muda suka memilih hospital swasta yang paling canggih/popular (baca : paling mahal). Mungkin pada pandangan mereka, hospital tersebut dapat memberikan servis yang terbaik. 

Fakta yang amat mengejutkan, skala ibu dibedah sewaktu melahirkan terutama pada waktu bekerja normal (8 pagi hingga 5 petang) adalah paling tinggi di negara membangun dan maju. Tak percaya sila lihat laporan ini di sini.  


Ternyata melahirkan bayi bukan tugas doktor atau bidan semata-mata. Ilmu dalam bidang ini jika dipelajari dan dikaji bersungguh-sungguh ternyata mampu menjadikan semua ibu berani untuk melahirkan bayi mereka di mana-mana malah berani bersalin seorang diri!





Tiada yang mustahil bagi Allah. Allahuakbar! 









Post a Comment