Wednesday, October 9, 2013

Berubat dengan Makanan Sunnah

Teks : Iryani Ahmad
Gambar : Google

Bismillahirrahmanirrahim

Maha Suci Allah. Saya seorang yang sangat tak suka makan ubat sejak kecil hingga sekarang. Wallahua'lam, tak tahu mengapa. Semuanya bermula ketika cuti semester pada tahun 2 di universiti iaitu pada tahun 2007. Saya telah menghabiskan cuti di sebuah pondok pengajian di Kelantan. Mata hati dijentik dan saya diajar untuk melihat dunia sekeliling dengan sudut pandang dan dimensi yang berbeza.

Masyarakat di sana mempunyai kebergantungan yang sangat tinggi pada Allah. Tawakkal yang sangat kuat. Hanya pada Allah. Jika mereka sakit, Allah dulu yang dicari. Saya terkesima. 



Makanan sunnah dan segala herba yang terdapat di dapur dimanfaatkan sepenuhnya. Begitu juga dengan buah-buahan tempatan. Rupa-rupanya semuanya mempunyai khasiat penyembuhan yang sangat luar biasa hebat pada sistem tubuh ketika sakit. Aura penyembuhan makin mujarab setelah ditambah dengan alunan ayat-ayat suci Al-Quran terhadap makanan tersebut. Subhanallah.

Banyak persoalan yang ingin diutarakan. Tapi, lidah kelu. Mungkin sebab tidak tahu mahu bertanya yang mana satu dahulu. 

Sahabat saya di sana tidak dapat menjelaskan secara saintifik bagaimana dan mengapa, mereka tidak pergi ke hospital apabila sakit. Kemudian seorang ustaz menyuruh saya membuat kajian sendiri. Beliau hanya katakan, semua yang Allah ciptakan sudah cukup untuk kita. Apa yang Allah hadiahkan di sekeliling kita berupa tumbuhan dan haiwan, mempunyai manfaat yang tersendiri untuk manusia di sesuatu tempat. Ada sebab mengapa setiap tumbuhan dan haiwan di sesetengah tempat adalah unik antara satu sama lain. Dunia di luar sana sangat menipu kita semua.

Saya tak faham. Apa yang tipunya? Saya mahu pertimbangkan pendapat ustaz tersebut. 

Bermula dari situ, saya membuat kajian. Buku-buku yang berkaitan perubatan saya mula baca dengan penuh minat. Saya mula jatuh cinta untuk menimba ilmu tentang khasiat tumbuhan dan sayuran. Kemudian, secara tak sengaja saya telah berjumpa dengan tim/kumpulan yang meperjuangkan remedi semulajadi. Semua fakta di situ sangat menyokong segala usaha saya selama ini. Di dalam tim/ kumpulan tersebut, para ibu sangat teruja menggali ilmu tentang remedi yang menggunakan bahan-bahan semulajadi.



Saya bukan anti-hospital atau anti-doktor. MasyaAllah. Kerjaya seorang doktor adalah sangat mulia. Begitu juga dengan semua pekerjaan yang terlibat di hospital. Allah sahajalah yang berhak mebalas segala jasa baik kalian.

Kini, saya mula berasa yakin terhadap kata-kata ustaz tersebut. Saya merasakan sudah berada pada tahap keyakinan yang benar. Nekad untuk meneruskan misi perjuangan ini. Apabila sakit, Allah dahulu yang dicari, bukan doktor atau manusia lain. Semoga Allah memberkati dan meredhai perjuangan ini. Amin.
Post a Comment