Thursday, June 27, 2013

Muslimah yang Lembut

Muslimah itu lembut hatinya                                                                                                                   rapuh jiwanya...                                                                                                                                     Andainya mereka tersilap langkah,                                                                                                        mohon bimbingan....                                                                                                                                                                      Bukan celaan....                                                                                                                                    tegurlah jika dri ini smkin ALPa

Khasiat Madu

Teks : Iryani Ahmad
Gambar : Google

Menurut buku " Perubatan Cara Nabi Pasti Sihat ", terdapat banyak khasiat madu pada seluruh anggota badan kita. Antaranya adalah :


  1. Madu bersifat panas dan kering.
  2. Lebah adalah sejenis seranggan yang hidupnya hanya memakan makanan yang baik (sari bunga) dan mengeluarkan madu.
  3. Madu yang paling baik adalah yang dihasilkan pada musim bunga, diikuti madu musiim panas dan yang terakhir madu musim sejuk.
  4. Semua tabib sepakat mengatakan madu adalah ubat yang paling baik pada manusia kerana ia mengandungi detergen dan tonik.
  5. Madu menguatkan perut dan merangsang selera makan.
  6. Madu adalah makannya makanan, minumannya minuman dan ubatnya ubat.
  7. Gula-gula dan kuih yang dibuat dengan madu akan terawet dengan baik.
  8. Jika kulit manusia disapu madu, ia akan membunuh kutu dan hama.
  9. Madu juga melembutkan rambut, membuatnya tumbuh panjang dan lebih cantik.
  10. Jika digunakan untuk berkumur, ia menyihatkan gusi dan memutihkan gigi.
#Info : Tabib dari Indonesia telah menulis huraian tentang madu dan menyatakan ia lebih baik daripada gula.

Dapatkan madu Al-Shifa di kedai Sedapnya Makanan Sunnah

Wednesday, June 26, 2013

Kurma Sepanjang Mengandung

Teks : Iryani Ahmad
Gambar : Google

Hati seorang ibu sukar difahami oleh insan yang belum lagi bergelar ibu. Walaupun anak-anak berada di depan mata, degup jantung seringkali membuatkan jiwa tak tentu arah. Bagi ibu yang menyusukan bayi mereka dengan susu badan sepenuhnya, setiap kali menjelangnya bulan Ramadhan yang penuh barakah, pasti ada ibu-ibu yang bimbang tentang bekalan susu untuk si kecil.

Begitu juga yang seringkali terjadi pada saya. Pada bulan Ramadhan tahun ini, saya masih menyusukan si kecil Hassan yang sudah berusia 9 bulan dengan penyusuan eksklusif. Cukup hanya dengan susu ibu sahaja tanpa makanan. Kegundahan hati tiada taranya. Pengalaman menyusukan pada bulan Ramadhan tahun lepas rasanya yang paling mencabar. Pada saat kandungan anak kedua sudah mencecah 9 bulan dan saya masih menyusukan anak pertama. Hanya kurma sahaja makanan yang mampu memberi tenaga tambahan buat saya. Seingat saya lebih 10 kotak kurma untuk saya seorang.



Saya memang akan membeli kurma yang banyak sebelum menjelang bulan Ramadhan dan membuat stok. Alhamdulillah, ketika itu ramai pula orang yang baik hati sedekahkan kurma buat wanita mengandung ini. Semoga mereka semua dirahmati Allah hendaknya. Alhamdulillah, sepanjang mengandung saya tak pernah makan sebarang pil sintetik. Cukup hanya dengan kurma dan buah-buahan segar. Bacaan Hb saya sentiasa cantik, tak pernah turun atau terlebih naik. Boleh baca tentang khasiat kurma di sini.

Menurut hadith dari Bukhari dan Muslim, Nabi Muhammad S.A.W  bersabda :

Berilah makan kurma kepada isteri-isteri kamu yang hamil kerana sekiranya wanita hamil itu memakan buah kurma, nescaya anak yang bakal dilahirkan itu menjadi anak yang penyabar, bersopan santun serta cerdas pemikirannya.

Jika ada yang mahu membeli kurma dalam kuantiti yang banyak melebihi 1 kg dan ingin membuat stok, boleh beli di sini : http://www.mudah.my/Kurma+Maryami-22170076.htm

Khasiat Kurma

Teks : Iryani Ahmad

Nabi kesayangan kita, Nabi Muhammad S.A.W sangat mementingkan kualiti dan khasiat makanan yang dimakan. Baginda memakan kurma, sayur-sayuran dan buah-buahan. Dalam penulisan kali ini, saya akan kongsikan tentang khasiat kurma dari beberapa buah buku yang saya baca melalui penulisan santai.




  1. Kurma adalah sejenis tumbuhan palma yang berbuah.
  2. Istimewanya buah kurma boleh dimakan dalam keadaan masak atau yang masih mentah. 
  3. Buahnya yang tak berbau menyebabkan tiada haiwan yang cuba makan atau merosakkannya.
  4. Buah kurma kaya dengan kalium dan dapat mengurangkan risiko serangan angin ahmar.
  5. Makan buah kurma boleh menyebabkan denyutan jantung teratur dan darah menjadi stabil.
  6. Kurma adalah makanan yang paling cepat diproses sebagai bekalan tenaga.
  7. Gula semulajadi yang terkandung dalam kurma jauh lebih baik daripada gula pasir.
  8. Serat dalamkurma sangat halus sehingga tak mencederakan perut.
  9. Kurma juga memberikan tenaga tambahan untuk mereka yang mahu melakukan senaman atau kerja keras.
  10. Pokok kurma sangat istimewa kerana ia disenyawakan oleh tangan manusia.

Kehebatan Makanan Sunnah

Teks : Iryani Ahmad

Peluang dapat menjadi seorang surirumah adalah nikmat paling indah yang diberikan Allah kepada saya. Nikmat kerana semua urusan keluarga dan rumah dapat saya buat dengan tangan sendiri terutama bab memasak. Saya sangat yakin dengan memasak sendiri di rumah, saya dapat memastikan kesihatan seluruh ahli keluarga berada pada tahap maksimum.

Menurut buku " Menerokai Kegemilangan Saintis Islam", Islam sangat mengambil berat akan pemakanan penganutnya kerana amalan pemakanan berkait rapat dengan kesihatan.

" Menurut pandangan sains, makanan yang diambil oleh Nabi kesayangan kita, Nabi Muhammad S.A.W adalah baik untuk kesihatan dan mencerdaskan minda. Oleh itu tidak hairanlah jika saintis-saintis Islam mengamalkan cara pemakanan baginda S.A.W sebagai amalan pemakanan mereka".

Saintis Islam yang sangat hebat itu pun meniru cara makan Nabi S.A.W. Mengapa kita tak mahu tiru cara Nabi makan? Mahu ikut cara makan siapa lagi?  Adakah dibolehkan makan sahaja semua makanan yang sedap di depan mata?

Kehebatan saintis Islam diakui sendiri oleh saintis Barat. Menurut Mat Rofa Ismail dalam bukunya yang bertajuk " Falsafah Sains : Pendekatan Kualitatif ",seorang sarjana Barat iaitu Philip Hitti mengakui bahawa Renaisans Eropah tak mungkin wujud tanpa sumbangan sains Islam. Apakah rahsia kehebatan saintis Islam? Hakikatnya, makanan yang halal, berkualiti, baik dan berkat merupakan rahsia kehebatan mereka. Subhanallah!

Apa yang Nabi kita makan bukanlah kebetulan makanan itu berada di depan mata baginda S.A.W. Semuanya mempunyai hikmah oleh Allah supaya diikuti oleh kita. Tiru cara Nabi makan supaya badan seluruh ahli keluarga sihat, insyaAllah seperti Nabi juga. 

Ibu Beranak Tujuh

Teks : Iryani Ahmad

Semalam saya bertemu dengan seorang insan hebat. Beliau seorang muslimah bergelar surirumah sepenuh masa dan ibu kepada 7 orang anak. Pada masa yang sama beliau mengasuh 8 orang anak jiran. Salah seorang daripadanya adalah anak susuannya. Bagaimanakah beliau menguruskan anak-anaknya dan anak-anak yang beliau jaga serta menyusukan 2 orang anak serentak. MasyaAllah! Hati saya tak sabar mahu bertanyakan macam-macam. Persekitaran rumahnya juga sangat bersih dan teratur. Keadaan anak-anak juga bersih dan kelihatan si kakak sedang mengajar adik-adiknya membuat kerja sekolah.

Tak sabar rasanya mahu dikongsikan kisah inspirasi itu di sini.

Di bandar besar seperti ini, tak ramai ibu bapa yang mempunyai ramai anak sehingga 7 orang. Lebih ramai ibu bapa yang memilih untuk mempunyai sedikit anak atas faktor kos kewangan yang tinggi apabila tinggal di bandar-bandar besar. Cukupkah dengan suami seorang yang bekerja?

Jawapan yang saya temui hampir sama dengan nasihat yang diberikan oleh jutawan muslim tempoh hari. Berani berniaga!

Wah, boleh berniaga lagi ibu beranak tujuh tadi? Pada waktu bila beliau berniaga sedangkan di rumah sudah kelam kabut dengan urusan anak-anak dan anak-anak asuhan yang sangat ramai tu. Beliau mengatakan, sebagai ibu kita harus mengorbankan sebahagian masa rehat yang Allah berikan dan dalam masa yang sama mesti cukup tidur supaya kekal bertenaga sepanjang hari.

InsyaAllah, saya akan coretkan lagi sambungan ceritanya. Saya sarankan bagi sesiapa yang ingin berpendapatan dari rumah boleh mula dengan penulisan blog bagi memperkenalkan diri , produk dan perkhidmatan dan ia lebih mesra dengan pembaca. untuk yang tiada asas boleh masuk kelas belajar online asas blog dan penulisan. Di sini ada pencerahan kepada kebelenguan.



Promosi bulan Jun


kini RM100 sahaja untuk 3 buku

atau

RM130 (kelas asas blog dan penulisan) + RM75 (2 buah buku rujukan)
kini rm130 sahaja (2 buah buku rujukan jadi percuma)

atau

rm75 sahajan untuk dapatkan 2 buah ebook rujukan tanpa masuk kelas


Nasihat Orang Hebat

Teks : Iryani Ahmad

Beberapa hari lalu, Tuan Suami berpeluang minum kopi bersama beberapa usahawan Melayu yang sangat berjaya dalam perniagaan yang patuh syariah. Saya senaraikan beberapa nasihat yang kami terima pada hari tersebut :


  1. Berhenti membeli barang-barang yang menunjukkan kekayaan palsu!
  2. Sangka baik pada Allah selalu!
  3. Berhenti mengeluarkan produk sendiri!
  4. Berniaga ikut cara Nabi kesayangan kita, Nabi Muhammad S.A.W! Trader!

Sunday, June 23, 2013

Berubat Dengan Makanan Sunnah

Teks : Iryani Ahmad

Perasan tak tajuk blog saya sudah bertukar kepada Berubat dengan Makanan Sunnah? InsyaAllah penulisan kali ini adalah usahasama bersama penulis popular tak lain tak bukan Puan Masayu Ahmad.


Saya akan mula fokus kepada tajuk Berubat dengan Makanan Sunnah. Apakah makanan sunnah? Pertama sekali mari kita lihat definisi makanan. Dalam kamus Dewan, maksud makanan ada sembilan makna. Maksud makanan menurut kamu Dewan adalah memamah serta menelan makanan, mengunyah sesuatu.

Mari kita lihat pula makna sunnah secara lebih terperinci. Menurut Ustazah Fatimah Syarha, bukan sahaja kita perlu tahu secara tepat, tetapi perlu faham secara jelas.

Sunnah di sisi Fiqh adalah sesuatu perbuatan yang sekiranya dibuat mendapat pahala, sekiranya ditinggalkan tidak berdosa, atau pendek kata ia digalakkan. 

Sunnah di sisi ahli hadis lebih luas maksudnya meliputi kata-kata Nabi, perbuatan Nabi, persetujuan Nabi (Taqrir) dan sifat Nabi daripada sudut fizikal dan akhlak.

Sunnah di sisi para ahli usul pula dihadkan kepada kata-kata Nabi, perbuatan Nabi dan persetujuan Nabi (Taqrir)  kerana ia mempunyai kesan hukum.

Antara makanan sunnah gaya Nabi S.A.W adalah seperti berikut :

1. Air zam-zam
2. Habbatusauda
3. Tamar
4. Cuka kurma
5. Madu
6. Susu kambing
7. Kismis
8. Badam
9. Cuka Epal
10. Minyak Zaitun
11. Delima
12. Makanan halal dan berkat

Rasulullah S.A.W pernah menyuruh pesakit yang datang menemui baginda untuk mendapatkan rawatan dengan makan madu. Menurut Kitab at-Tibb, no . hadith 5252, 

Sabda Rasulullah S.A.W yang diriwayatkan oleh Abu Sa'id al-Khudri R.A :

" Bahawasanya seorang lelaki telah mendatangi Rasulullah S.A.W dan berkata : " Saudaraku mengadu sakit di dalam perutnya". Sabda Rasulullah S.A.W : " Beri dia minum madu". Kemudian lelaki itu datang kali kedua ( mengadu benda yang sama). Sabda Rasulullah S.A.W : " Beri dia minum madu". Kemudian lelaki itu datang kali ketiga. Sabda Rasulullah S.A.W : " Beri dia minum madu". Kemudian datang untuk kali seterusnya dan berkata " aku telah melakukan itu", sabda Rasulullah S.A.W : " Telah benar apa yang dikatakan oleh Allah S.W.T, dan telah dusta perut saudara kamu itu, berilah dia minum madu." Maka diberikan lagi lelaki itu minum madu, maka dia pun sembuh. - Hadith riwayat al-Bukhari


Saturday, June 15, 2013

Rutin Harian Seorang Suri Rumah

Tulisan : Iryani Ahmad

Segala puji bagi Allah S.W.T, Tuhan sekalian alam. Alhamdulillah hari ini, Jumaat penghulu segala hari telah memulakan minggu baru. Sudah lama saya mahu kongsikan apakah rutin harian saya setelah bergelar 3 tahun sebagai ibu suri rumah tangga.

Pada dua tahun pertama perkahwinan saya masih lagi bergelar pelajar sepenuh masa ijazah sarjana melalui penyelidikan. Tetapi saya belajar secara jarak jauh kerana mahu menetap bersama suami dan setiap bulan mesti berjumpa dengan supervisor untuk menyemak tugasan. Pada semester akhir pengajian, saya terpaksa berhenti pengajian atas sebab-sebab yang sangat menyedihkan. Cukuplah hanya Allah dan suami sahaja yang tahu rahsia ini.

Pada masa saya masih bergelar pelajar walaupun sudah bergelar isteri dan ibu sangat berbeza dengan menjadi suri sepenuh masa. 

Pagi

Pelajar - Bangun awal seawal pukul 4.30 - 5.00 pagi. Solat sunat dahulu. Waktu untuk membaca jurnal atau meng'edit' tesis sampai azan subuh.  Pagi waktu yang segar untuk menyerap segala ilmu. Kadang-kadang akan bersahur pada waktu ini bersama suami sebab mahu jimat belanja dapur.

Suri - Kalau bangun awal pukul 5.30 dapatlah buat solat sunat. Sebenarnya, kini saya sedang disiplinkan diri untuk bangun qiam pada setiap hari Jumaat. Antara fadhilat yang saya dengar daripada Ustaz Zahazan adalah dapat menguatkan ingatan dan menajamkan fikiran. Perbuatan ini adalah amalan para salafussoleh. 

Jika terlewat bangun sampai pukul 6.00 pagi tu, saya akan berjemaah bersama suami. Kebiasaannya suami akan berjemaah di surau atau masjid bersama Fatih, 2 tahun. Usai pulang, kami membaca Ma'thurat bersama-sama. Alhamdulillah terasa sangat tenang dan lebih bersemangat untuk melaksanakan tugas sebagai seorang isteri dan ibu.

Jika solat subuh berjemaah, suami akan membelikan nasi lemak sebagai ganjaran. Senang hati saya tak perlu memasak sarapan. Jika tak sempat berjemaah, selalunya saya masak sarapan yang mudah seperti jemput-jemput, lempeng pisang, roti telur, bihun goreng, bihun sup atau spageti goreng. Alhamdulillah kami dapat bersarapan bersama setiap pagi. Kalau ada lebih makanan sarapan, saya akan bungkuskan untuk suami bawa ke tempat kerja.

Selepas memasak sarapan, saya terus menanak nasi dan memasak lauk untuk makan tengahari. Lauknya sangat mudah dan cepat dimasak seperti sayur masak bening, ikan goreng, ikan kukus, ikan bakar atau sup ayam. Semasa suami cuti barulah boleh masak lauk istimewa seperti nasi ayam dan nasi minyak. Saya suka memasak semua pada waktu pagi agar tak kelam kabut nanti apabila semua sedang kelaparan.

Pelajar - Lepas suami pergi bekerja, saya terus mandikan anak, menyusukannya dan tidurkannya. Kemudian, saya sambung membaca jurnal untuk membuat tugasan dalam programming Maple, Mathlab dan C++. Ketika zaman bujang dulu di universiti, saya akan belajar dari pukul 9 pagi hingga 12 tengahari. Selepas berkahwin pun sama sahaja, cuma sesekali saya akan berhenti untuk menyusukan anak atau menukar lampinnya. Suasana belajar pun lebih kurang sama susun atur perabotnya iaitu hanya ada meja belajar, laptop, sebuah sofa dan rak buku di ruang tamu. Tiada televisyen di rumah kami hingga sekarang.

Suri - Lepas suami pergi bekerja, saya terus mandikan anak, menyusukan si adik bayi dan tidurkannya. Saya terus basuh baju dan biarkannya hingga selesai. Kemudian, saya akan mengajak si abang melakukan aktiviti mencerdaskan minda seperti mewarna menggunakan krayon. Contohnya pada hari ini, saya mengajak si abang Fatih yang berumur 2 tahun melakukan aktiviti seni menguli adunan tepung, garam kasar dan air berwarna. Aktiviti ini boleh melatih kemahiran motor kasar Fatih. Biasanya dalam tempoh 1 jam, Fatih bermain saya akan mengajaknya menyidai baju bersama-sama dan mengemas rumah.

Pada pukul 10 pagi, saya akan minum pagi bersama-sama Fatih. Biasanya kudapan buah-buahan atau kurma bersama susu kambing. Fatih akan tidur sebentar pada waktu ini hingga tengahari. Pada waktu inilah, saya akan memotong blok coklat menjadi lebih kecil untuk tempahan pelanggan.

Tengahari

Suami akan balik ke rumah untuk makan tengahari bersama-sama. Alhamdulillah, terima kasih Ya Allah jarak rumah kami sangat dekat dengan pejabat suami. Selepas makan tengahari, kami akan solat zohor berjemaah.

Petang

Pelajar - Ketika anak tidur pada waktu ini biasanya saya melakukan kira-kira manual dalam tugasan belajar untuk menghilangkan rasa mengantuk. Saya mengambil bidang matematik, jadi banyak sekali tugasan yang melibatkan pengiraan. Tapi jika keletihan, saya tertidur juga bersama bayi.

Suri - Selalunya bayi saya akan tidur antara pukul 2 hingga 4 petang. Fatih sudah tak mahu tidur petang dan waktu ini saya akan melakukan aktiviti lain mencerdaskan minda seperti bermain bunyi haiwan atau berbual-bual dengannya tentang harapan saya padanya 20 tahun akan datang. Selepas itu, saya akan bersiap-siap untuk solat asar.

Sementara menunggu suami pulang, saya akan menyiapkan minum petang yang ringkas  seperti pisang rebus, ubi rebus keropok lekor atau roti .sandwich. Fatih sangat suka menolong ketika menyiapkan juadah minum petang.

Selepas minum petang bersama, suami akan memandikan anak-anak dan bermain-main sama-sama. Tugasan ini perlu supaya anak-anak dapat merasakan belaian tangan daripada ayah mereka pula. Saya cepat-cepat menyiapkan juadah makan malam yang biasanya sama sahaja dengan lauk tengahari tadi tapi saya tambah lauk baru yang ringkas seperti sambal ikan bilis dan telur dadar. Sambil-sambil tu, dapatlah rehatkan diri sebentar melakukan hobi iaitu membaca buku. Kini, dalam proses nak tamatkan buku bertajuk Hasan al-Banna.

Selepas semua sudah siap mandi, kami makan malam paling lewat pada pukul 7 malam. Kemudian, kami akan bergerak ke masjid atau surau untuk solat berjemaah di sana. Nanti saya akan kongsikan tips membawa anak kecil dan bayi solat berjemaah di masjid, InsyaAllah.

Malam

Pada setiap malam,di masjid dan surau di kawasan kediaman kami akan mengadakan ceramah agama antara maghrib dan isyak. Peluang ini tak disia-siakan untuk saya menimba ilmu untuk dijadikan pengisian rohani. Pada waktu ini juga saya dapat menambah kenalan dengan jemaah wanita yang hadir.

Selepas solat isyak, anak-anak biasanya sudah tertidur di dalam perjalanan balik kerana kepenatan berkejaran berlari di dalam Masjid Tunku Mizan Zainal Abidin yang sangatlah luas itu. Sebelum tidur, kami akan bertadabbur bersama-sama dan saya akan menyelesaikan beberapa tugasan lain seperti membuat coklat.


Thursday, June 13, 2013

Kelas Asas Blog dan Penulisan [13.06.2013]

Teks : Iryani Ahmad

Saya terjebak dalam dunia blogging sejak tahun 2006. Pada masa itu, baru bergelar pelajar tahun satu di universiti. Topik yang ditulis berkisar tentang kehidupan sebagai pelajar baru dan pengalaman lalu sebagai seorang hamba. 

Ramai rakan alumni sekolah yang menulis blog.  Pada tahun ini 2013, saya mengetahui Puan Masayu menganjurkan kelas blog secara online. Tanpa berlengah, saya terus mengambil peluang ini.


Kelas asas blog dan penulisan ini sangat-sangat menarik kerana menjanjikan sebuah ebook karya sendiri di akhir kursus penulisan. Selain itu, jadual kelas yang amat fleksibel iaitu mengikut masa pelajar sendiri. Hal ini sangat saya sukai kerana boleh belajar ketika bayi sedang tidur.

Puan Masayu sudah menulis nota lengkap tentang penulisan blog dan tugasan yang mesti dilakukan. Tugas pelajar hanya membuat tugasan dan bertanya sekiranya ada yang tak faham. Tugasan yang wajib dibuat adalah menulis selama 44 hari. Kesannya palajar akan mampu menulis laju sebuah entri dalam tempoh 5 minit dan berjaya menulis sebuah blog yang berinfomasi.

Sebagai usahawan yang baru nak merangkak dalam dunia bisnes, penjenamaan diri sangat penting agar diri dikenali di kalangan pelanggan khusunya. Antara usaha hebat yang sangat luar biasa adalah menulis di blog dan tulis perkongsian dalam bidang yang kita mahir. InsyaAllah selepas tempoh 44 hari, kita akan dapat pembaca tetap di blog. Pembaca tetap itu akan dapat bertukar menjadi pelanggan kita pula.

Blog termasuk salah satu platform jual beli yang tertinggi di Malaysia. Rugilah jika menjadi usahawan tapi tak tahu cara nak manfaatkannya. Blog dapat menjadi pemasaran yang efektif selain di Facebook.

Sehingga ke saat ini, saya rasa sangat berbaloi dapat menjadi mentee Puan Masayu. Selain daripada dapat mempelajari teknik penulisan di blog, sedikit sebanyak saya juga dapat belajar ilmu pemasaran dalam dunia perniagaan. Yuran kelasnya juga sangat berpatutan. Saya amat menggalakkan bagi sesiapa sahaja yang mahu mempelajari teknik menulis blog berpengaruh dan sentiasa konsisten dalam menulis blog agar menyertai kelas asas blog dan penulis yang dianjurkan oleh Puan Masayu.

Di sini, saya mahu membuat sedikit rumusan apa yang saya sudah dapat apabila menyertai kelas ini :
  1. Belajar teknik menulis untuk menghasilkan blog berpengaruh
  2. Masa belajar yang fleksibel dan berguru terus dengan Puan Masayu secara online
  3. Yuran kelas yang sangat berpatutan
  4. Konsisten menulis dengan idea yang sentiasa mengalir
  5. Teknik menulis dari jiwa terus ke jiwa pembaca
  6. Semua penulis adalah perempuan!
Semoga Puan guru Masayu Ahmad sentiasa sihat hendaknya agar sentiasa dapat mencurahkan dan berkongsi ilmu dengan para pelajarnya. Amiin, InsyaAllah. Berminat? Hubungi saya di sini jika mahu menyertai kelas asas blog, pn.iryani@gmail.com.

Tuesday, June 11, 2013

Rumah Coklat [10.6.2013]

Teks : Iryani Ahmad
Gambar : Google





Bumbung rumah diperbuat daripada biskut jejari yang dicelupkan coklat. Dindingnya daripada coklat praline yang mempunyai pelbagai rasa ini. Daun pintu dan jendela diperbuat daripada coklat bar. Di hadapan rumah pula ada ditanam dengan pelbagai buah-buahan segar bebas tanpa racun dan serangga. Ada kolam air coklat  yang kecil di sudut kanan rumah.

Rumah dan buah-buahan ini akan tumbuh semula selepas dimakan. Seolah-olah takkan habis. Cahaya matahari yang menyinar takkan mencairkan coklat dan tiada hujan turun yang akan membasahkan rumah coklat. Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa dan sangat mendamaikan seperti angin perbukitan. 

Berimaginasi ini percuma dan sangat seronok kan.