Thursday, August 29, 2013

Penderaan Kanak-kanak & Cara Memilih Taska yang Betul

Teks : Iryani Ahmad
Gambar : Google

Penderaan Kanak-kanak

Berita tentang kes penderaan kanak-kanak oleh salah sebuah taska berhampiran rumah, saya sudah dengar semenjak duduk di sini 3 tahun yang lalu. Saban tahun, saban bulan pasti cerita yang tidak enak akan kedengaran. Samada cerita tersebut terus muncul di kaca TV, dada akhbar/majalah atau mulut ke mulut. Isu yang sama semenjak saya hamil anak pertama. Isu penderaan dan penganiayaan kanak-kanak di taska atau rumah pengasuh.

Anak kecil yang saya jaga di Taska

Lagipun, saya pernah bekerja di Taska sebagai pengasuh semasa sedang belajar di dahulu. Saya selalu dengar keluhan dan rungutan para pengasuh taska betapa penatnya mereka menjaga anak-anak kecil yang lasak setiap hari, padahal upah yang diberi tak berbaloi dengan penat yang dialami. Para pengasuh selalu bersungut mengatakan mereka pun manusia biasa, tak mampu nak bagi layanan yang terbaik bagi setiap anak kerana seorang pengasuh terpaksa menjaga ramai anak kecil. Ibu bapa pula mengharapkan pengasuh menjaga dengan sangat baik seperti dalam jagaan mereka.

Pada masa itu, saya yang masih muda sangat teruja memohon pelbagai jawatan kerja dan menghadiri temuduga di mana-mana. Dalam masa yang sama, isu ini timbul di persekitaran rumah saya. Saya berasa sangat serba salah. Akhirnya, saya dan suami mengambil keputusan nekad iaitu saya memilih untuk menjadi surirumah sepenuh masa. Tawaran kerja yang berjaya diperoleh terpaksa ditolak. 

Tiada tempat mengadu selain dariNya. Saya mula membeli bahan-bahan bacaan yang dapat menyokong kerjaya baru saya sebagai seorang surirumah. Hadir ke majlis-majlis ilmu. Kemudian, buku yang bertajuk Pendidikan Awal Kanak-Kanak yang telah lama dibeli sejak awal perkahwinan, saya baca setiap hari. 

Buku Pendidikan Awal Kanak-Kanak

Penulis buku Sheikh Abdullah Nasih Ulwan ada menyatakan dalam bukunya yang bertajuk Pendidikan Awal Kanak-Kanak, bahawa ibu itu adalah laksana sekolah bagi anak-anaknya. Maksud penulis adalah ibu itu seperti sekolah yang akan menghasilkan umat yang baik keturunannya. Penulis sentiasa mengingatkan tentang pentingnya peranan seorang ibu dalam hal mendidik anak-anaknya. Semuanya terkandung dalam buku Jilid 1 setebal 611 mukasurat. Saya amat sentap apabila membaca syair di bawah ini. Bukan bermaksud, saya marahkan penulis tetapi beliau seolah-olah berbicara di hadapan saya dan menasihati saya secara berdepan bahawa inilah pekerjaan saya yang sebenarnya.

Bukanlah anak yatim itu siapa yang ibu bapanya telah berhenti menanggung keperitan hidup dan meninggalkannya hida-dina...

Bahkan si yatim itu adalah anak yang anda dapati...

Ada ibu tidak peduli, ada ayah yang selalu banyak kerjanya...

Syair tersebut selalu menguatkan semangat saya tentang tugas seorang ibu adalah berada di rumahnya. Janganlah marah saya andai kalian yang membaca adalah seorang ibu dan isteri yang bekerja. Maafkan saya. 

Panduan Memilih Pengasuh/ Taska/ Guru

Jangan risau jangan sedih, penulis juga ada memberi beberapa panduan andai kalian terpaksa memilih untuk keluar bekerja. Terutamanya bagi seorang janda yang terpaksa bekerja untuk mencari rezeki demi anak-anaknya. 

Antara yang penulis catatkan adalah, cari dan pilihlah guru yang memahami dan mengamalkan ajaran Islam yang sebenarnya. Hanya insan yang takutkan Allah akan berbuat baik sesama insan. Dalam hal ini, saya yakin semua ibu bapa akan berusaha untuk mencari yang terbaik. 

Seterusnya, penulis banyak mengingatkan para ibu bapa supaya sentiasa bertaubat pada Allah, mengadu pada Allah selalu. Jagalah Allah, nescaya Allah akan jaga kita. Jagaan Allah lebih sempurna daripada jagaan seorang ibu.

Ada pepatah Arab yang menyebutkan :

Begitu banyak orang yang lega 
setelah putus asa mendera
begitu banyak pula orang berbahagia
setelah dia putus asa.
Siapa pun yang berprasangka baik
kepada pemilik 'Arasy
maka ia akan memetik buah manis
di tepi sungai yang jernih.

# Sesiapa yang berminat mahu membaca buku ini, jemput datang ke rumah. Silakan baca tapi di rumah saya sahaja sebab hampir setiap hari saya selalu baca buku ini.

# Bagi yang berminat mahu memiliki buku Pendidikan Awal Kanak-Kanak seperti di atas, boleh hubungi saya di pn.iryani@gmail.com

# Mulakan langkah pertama dengan menyediakan tapak di alam maya sebagai langkah memulakan perniagaan ,mendapatkan pelanggan atau juga langkah pertama dalam menyampaikan ilmu dengan :

1) sertai kelas asas blog dan penulisan (untuk menulis bebas)
2) sertai kelas asas blog dan fan page (untuk melebarkan sayap perniagaan di alam maya)
untuk sertai, boleh masuk ke sini :


atau emailkan ke : pn.iryani@gmail.com


Wednesday, August 28, 2013

Selamat Hari Lahir 1 tahun Sayang... Giveaway Buku Percuma

Teks : Iryani Ahmad
Rujukan : Al-Ma'thurat terbitan Telaga Biru

Selamat hari lahir yang pertama sayangku, Muhammad Hassan. Sungguh pantas masa berjalan. Kenangan berjuang melahirkan dirimu masih segar di ingatan. Tanpa sebarang bantuan dadah dan peralatan hospital. Masih teringat lagi, ketika ummi kesakitan berjuang selama 3 jam seorang diri, hanya saudaramu, Muhammad Alfatih yang teman dan tentunya Allah Yang Maha Penyayang.


 Namamu dipilih oleh Abi sempena nama pejuang Islam, Al-Imam as-Syahid Hassan Al-Banna. Besar harapan kami sebagai ibu bapa terhadap dirimu, wahai anakku. Agar dirimu menjadi seorang anak soleh dan apabila dewasa kelak, kamu membesar menjadi seorang pejuang Islam. Semoga hidupmu sentiasa diberkati Allah dan sentiasa berada dalam nikmat kasih-sayangNya. 

Hassan Al-Banna

Wirid al-Ma'thurat (wirid dan doa Rasulullah S.A.W) disusun oleh Hassan Al-Banna. Beliau merupakan seorang pendakwah yang mengorbankan harta dan nyawanya untuk menegakkan kedaulatan Islam. Beliau adalah pengasas gerakan Ikhwanul Muslimin.

Pada usia 12 tahun, beliau telah menghafal Al-Quran. Beliau menyertai kumpulan Latihan Akhlak dan Jemaah al-Akhlaqi di madrasahnya. Beliau juga sering menghadiri majlis-majlis zikir pimpinan al-Ikhwan al-Hasafiyyah. Pada usia 23 tahun, beliau menubuhkan gerakan Ikhwanul Muslimin di bandar Ismailiyyah dan dalam masa yang sama sedang bertugas sebagai seorang guru pada Mac 1928.

Hasil kegigihan beliau, gerakan dakwah beliau mendapat sambutan di Mesir dan di setiap pelusuk negara-negara Islam. Bimbang dengan pengaruhnya yang semakin kuat, Hassan al-Banna ditembak mati oelh seorang pembunuh upahan lalu menghembuskan nafas terakhir pada 12 Februari 1949.

Tok Janggut

Selain itu, nama sebenar Tok Janggut adalah Muhammad Hassan. Beliau adalah pahlawan Islam yang berasal dari Tanah Melayu. Beliau digelar Tok Janggut kerana memiliki janggut yang panjang.

Sempena hari lahir sayang, ummi sudah belikan buku-buku tokoh sejarah Islam seperti Imam Hasan Al-Banna dan Tok Janggut. Sayang boleh baca apabila sudah pandai membaca kelak. Ummi dan Abi akan mengumpul sebanyak mungkin bahan bacaan yang boleh memberikan manfaat dan semangat tentang Ilmuan Islam buat sayang.

Sempena pada hari lahir Muhammad Hassan, di sini saya ingin memberi 10 buah buku secara percuma. Buku bertajuk Mudahnya Menjemput Rezeki.




Syarat Giveaway

Kalian yang ingin memenangi buku Mudahnya Menjemput Rezeki secara percuma harus menulis sebuah entri mendoakan birthday boy, Muhammad Hassan. 

1.Tulis apa-apa sahaja tentang harapan dan doa kepada beliau. 

2.Wajib letak backlink ke blog saya.

3.Letak link entri di bawah komen. 

4.Cukup 10 orang yang menulis, saya akan poskan bukunya. PERCUMA!

Siapa cepat, dia dapat. Terhad kepada 10 orang sahaja!

Tuesday, August 27, 2013

Surirumah Pisau Cukur

Teks : Iryani Ahmad

Ada seorang wanita yang menghantar emel kepada saya tentang gelaran pisau cukur yang diberikan olehnya semenjak menjadi surirumah. Walaupun saya bukan seorang kaunselor keluarga, tapi saya akan berusaha menulis dan membaca bahan yang berkaitan supaya artikel ini dapat memberi manfaat kepada semua termasuk diri sendiri.

Saya bukanlah insan yang layak memberikan pendapat tentang ini. Saya juga bukan seorang ustazah. Saya juga tidak menuduh wanita yang menghantar emel tersebut pernah menjadi seorang yang pisau cukur pada masa silamnya. Saya sedang baca bahan yang berkaitan. Mohon berikan saya masa satu hari ini, InsyaAllah. Semoga Allah memberkati.


Monday, August 26, 2013

Renovate Hati

Teks : Iryani Ahmad

Dari Lukman al-Hakim :


Tidak benar orang yang berkata bahawa kejahatan itu boleh dihapuskan dengan kejahatan. Kalau benar, cubalah bakar api. Adakah api yang kedua boleh memadamkan api yang pertama? Kalau hendak memadamkan kejahatan, ambillah kebaikan.

Thursday, August 22, 2013

Kecil Tapi Penting - Lenguh Kaki

Teks : Iryani Ahmad

Kecil tetapi penting. Begitulah tajuk nota yang saya tulis kira-kira 10 tahun lepas. Catatan tazkirah yang pertama kali saya tulis. Tarikhnya pada 7 Jun 2003. Pertama kali masuk ke sebuah sekolah yang hebat dan berjumpa rakan-rakan yang hebat, mempunyai guru-guru yang hebat serta mempunyai alumni yang hebat, Subhanallah.

Tak pernah terfikir untuk memasuki ke sekolah hebat ini dan tak tahu pun kewujudannya. Kolot betul saya kan. 2 minggu sebelum menerima tawaran ke sekolah tersebut, rakan baik saya ada menghubungi supaya mendoakan beliau diterima masuk ke sekolah hebat tersebut. Saya ini baru pertama kali mendengar tentang sekolah tersebut lalu mendoakannya seikhlas hati. Beliau yakin dapat masuk ke sana kerana mendapat keputusan cemerlang 9A dalam PMR. Saya juga sangat yakin beliau diterima masuk kerana beliau semangnya pelajar yang pintar.

Allah. Terkejut saya ketika menerima surat tawaran tersebut. Saya merasakan sangat tidak layak berbanding rakan baik saya yang pintar tadi. Saya pergi juga dengan diiringi nasihat bonda sekiranya tidak pergi maka masa depan saya akan gelap. Aduhai, gementar sungguh jika difikirkan kembali apatah lagi iainya keluar dari mulut seorang ibu.

Berbalik kepada catatan ringkas tadi, masalah sebenarnya berpunca daripada masalah kecil. Sebagai seorang isteri dan ibu banyak sekali masalah kecil yang berlaku saban hari. Mungkin ada diantaranya sangat remeh temeh. Contohnya lenguh-lenguh kaki. Apalah sangat lenguh kaki pada orang muda. Sapu sahaja minyak angin tentu hilang dan lega. 



Lenguh kaki salah satu contoh masalah kecil yang selalu dipandang remeh. Hal ini mungkin juga akibat daripada amalan berpantang selepas melahirkan anak yang tak dipatuhi. Boleh sahaja sebab kegemaran suka minum air sejuk atau tidak memakai stokin ketika tidur. Kurang rehat dan pemakaian kasut tumit tinggi yang kurang sesuai juga akan menyumbang kepada sebab lenguh kaki.

Kaki yang sihat sangat penting sebenarnya untuk ibu muda. Selalu bergerak ke sana mari dan kendong pula anak kecil di sisi. Di dapur sedang menanak nasi dan asam pedas ikan pari. Sementara di dalam oven pula sedang membakar kek coklat moist tempahan jiran-jiran. Di dalam peti ais pula beberapa kek sedang menanti untuk dihias. Ruang tamu masih bersepah dengan longgokan baju kering dan mainan anak padahal lagi 10 minit ada sahabat lama mahu bertandang beraya di rumah. Tilam di dalam bilik masih berbau hancing perbuatan mengompol anak sulung. Aduhai, mana satu yang paling penting yang perlu dilakukan ya?

Di sinilah peranan kaki yang sihat dan tak lenguh memainkan peranan. Cuba kalau kaki sudah lenguh dan penat. Rumah pula seperti kapal karam. Suami keletihan tertidur baru pulang bekerja shift malam. Si ibu muda ini mungkin boleh bertukar menjadi raksasa hijau akibat tekanan seperti di atas. Haha

Jangan ambil mudah pada objek kecil seperti jintan hitam. Jika dipandang sekali nampak seperti habuk. Pandang 2 kali nampak seperti biji bijan tetapi berwarna hitam. Inilah anugerah ciptaan Allah yang sangat bernilai untuk manusia. Banyak kaum ibu dan isteri tidak tahu tentang kepentingan biji jintan hitam atau habatussauda pada kesihatan. 

Boleh baca lagi kepentingan dan khasiat biji jintan hitam ini di sini. Khasiat Habatussauda.

# Mulakan langkah pertama dengan menyediakan tapak di alam maya sebagai langkah memulakan perniagaan ,mendapatkan pelanggan atau juga langkah pertama dalam menyampaikan ilmu dengan :

1) sertai kelas asas blog dan penulisan (untuk menulis bebas)
2) sertai kelas asas blog dan fan page (untuk melebarkan sayap perniagaan di alam maya)
untuk sertai, boleh masuk ke sini :


atau emailkan ke : pn.iryani@gmail.com

Monday, August 19, 2013

Khasiat Minyak Zaitun

Teks : Iryani Ahmad
Gambar : Google

Assalamualaikum buat semua pembaca yang dirahmati Allah.  

Teringat dahulu semasa kecil-kecil saya pernah bertanyakan pada bonda akan maksud zaiton. Beliau memberitahu ia adalah nama sejenis buah. Teringin sekali untuk merasai keenakan buah zaitun itu, tapi sayang sekali ia tidak tumbuh di sini.



Zaitun adalah sejenis buah yang sangat berkhasiat untuk kita sepertimana yang disebutkan 7 kali dalam Al-Quran. Apabila diperah ia akan menghasilkan minyak yang boleh dimakan terus. Minyak zaitun sangat kaya dengan kadar zat antioksida dan kadar masam lemaknya.

Ia memberi maksud minyak zaitun memberikan perlindungan daripada penyakit jantung dengan mengawal jumlah kolesterol tidak baik, iaitu LDL. Selain itu, kolesterol baik, iaitu HDL turut mampu ditingkatkan.

Tips ketika membeli minyak zaitun, pilih minyak zaitun jenis ekstra virgin. Ia adalah sejenis pati buah yang diambil secara mekanikal daripada buah zaitun. Ketika proses pengambilan, tiada bahan kimia yang digunakan.

Viktoria Hassouna, telah menerangkan tentang kajian khasiat minyak zaitun dalam bukunya yang bertajuk Virgin Olive Oil :


  1. Buah zaitun yang terbaik ditentukan daripada bentuk, saiz dan kandungan minyak yang diperoleh.
  2. Menurunkan faktor pencetus kanser payudara kerana kehadiran phytonutrient dalam minyak zaitun.
  3. Minyak zaitun dapat menurunkan tahap kolesterol dalam darah yang mengakibatkan sakit jantung.
  4. Minyak zaitun kaya dengan antoiksidan, vitamin E dan mengurangkan risiko kanser.
  5. Di antara minyak tumbuhan lain, minyak zaitun paling tinggi kandungan lemak mono tak tepu, monounsaturated (tak teroksida dalam badan) dan paling rendah kandungan lemak poli tak tepu,polyinsaturated  (tidak teroksida).
  6. Minyak zaitun dapat menurunkan kadar tekanan darah tinggi tinggi.
  7. Ubat mujarab untuk pesakit kencing manis (diabetis) kerana minyak zaitun mampu mengawal kandungan gula dalam darah dan meningkatkan kadungan insulin.
  8. Walaupun minyak zaitun tinggi kolesterol (baik), ia membantu dalam menurunkan risiko obesiti.
  9. Pengambilan minyak zaitun yang tinggi dalam diet harian dapat membantu meningkatkan kandungan mineral dan kalsium dalam tulang. Penting peranan minyak zaitun untuk pesakit osteoporosis atau mencegah penyakit ini.
  10. Kajian terkini telah membuktikan minyak zaitun dapat mencegah penyakit strok dan rheumatiod arthritis. Sumber di sini.

==================================================

Beli minyak zaitun di sini



# Mulakan langkah pertama dengan menyediakan tapak di alam maya sebagai langkah memulakan perniagaan ,mendapatkan pelanggan atau juga langkah pertama dalam menyampaikan ilmu dengan :

1) sertai kelas asas blog dan penulisan (untuk menulis bebas)
2) sertai kelas asas blog dan fan page (untuk melebarkan sayap perniagaan di alam maya)
untuk sertai, boleh masuk ke sini :


atau emailkan ke : pn.iryani@gmail.com