Friday, August 8, 2014

Bekerja Dari Rumah

Oleh : Iryani Ahmad


Bismillahirrahmanirrahim

Sudah lama tidak menjenguk di sini. Selepas berakhirnya bulan Ramadhan yang lalu, hati ini terasa sayu dan sepi. Masakan tidak, 3 orang ahli keluarga saya telah pergi bertemu Allah S.W.T pada bulan yang mulia ini. MasyaAllah, mereka pergi pada usia yang muda. Sejarah keluarga saya sentiasa merekodkan sekitar usia 50 tahun adalah garisan penamatnya. Pemergian mereka menyebabkan hati selalu risau, adakah saya masih berkesempatan untuk berjumpa Ramadhan pada tahun hadapan? 


Ya Allah, berilah aku kesempatan bertemu pada Ramadhan yang akan datang. Bulan pengampunan dan berilah aku kemaafan. Kembalikan aku kepadaMu sebagai hambaMu yang beriman yang memiiki jiwa yang bersih. Bersih daripada segala dosa dan noda. 


Lebih pilu, salah seorang imam di surau tempat tinggal kami telah syahid di Palestin. Allahuakbar. Assyahid merupakan imam jemputan dari sana. MasyaAllah, kami sekeluarga diberi peluang dapat bersama-sama berbuka puasa, solat, berdoa dan membaca Al-Quran dengan seorang ahli syurga! Ia nikmat yang sangat mahal. Subhanallah. Sejak awal Ramadhan, kami sentiasa mengikuti perkembangan dari sana. Tidak sangka rupa-rupanya beliau terpilih menjadi syahid ketika masuk sahaja di bumi berkah itu untuk menyambut Aidilfitri. Allahu.



Bekerja Dari Rumah

Diam tak diam, sudah 4 tahun 6 bulan saya bekerja dari rumah. Alhamdulillah. Ia suatu nikmat dan rezeki daripada Allah S.W.T buat semua SAHM dan WAHM.

Alhamdulillah, syukur pada Allah S.W.T. Baru-baru ini, saya diterima menjadi penulis konten bagi beberapa website. Terbaru ialah web ini. Klik di sini.


Jemput baca artikel terbaru. Apa Makanan Mengandung Menurut Islam?


Ia adalah salah satu contoh pekerjaan dari rumah.

Tidak goyang kaki. Malah, mahu mandi pun tidak sempat. Masa sangat padat! Jadual harus ditepati dan tidak boleh lewat barang sedikit. Lebih-lebih lagi di rumah ini ada 2 bos yang garang! Oh, mulai minggu depan ada tiga!


Kawan yang manis, impian kita sama. Mahu menjadi yang terbaik buat keluarga, suami dan anak-anak. Di sini syurga kita.


Ini nasihat mentor WAHM saya :

1. Jangan berharap kepada manusia.
Berharaplah kepada Allah. Allah mendengar doa kita. Bercakaplah, mengadulah kepada Allah. Allah tahu apa yang kita perlu. Bukan apa yang kita mahu.

2. Mula apa yang ada.

3. Just Do It

4. Konsisten terus tulis.


Tuesday, July 8, 2014

KESILAPAN MERAWAT TANGISAN BAYI BOLEH MENJADIKAN ANAK DEGIL, LEMAH DAN DUNGU

Oleh : Warga Prihatin

PERIHAL TANGISAN DAN PEMBENTUKAN AKHLAK ANAK

Hari ini ramai ibu bapa menjadi tenggelam punca untuk menundukkan anak-anak mereka agar mendengar arahan. Anak-anak suka berkeliaran tanpa kawalan dan sukar ditegah untuk melakukan apa sahaja sesuka hati walaupun sewaktu bertamu di rumah orang. Lebih sedih lagi ada ibu bapa yang tidak langsung berusaha mencegah anak-anak ‘mengusik’ dengan sesuka hati apa sahaja yang ada di rumah yang diziarahi. Anak-anak dibiarkan melompat-lompat di atas kerusi, memanjat meja, mengusik kereta dan apa sahaja yang ada di sekelilingnya.

Sewaktu kita kecil dahulu, ibu bapa sangat menitikberatkan disiplin kita apabila ada tetamu bertandang. Pantang sekali bagi orang tua dahulu melihat anak menyibuk ketika mereka melayani tetamu. Hari ini banyak kes anak yang meramas buah dan makanan yang disajikan ibu bapa untuk tetamu sehingga tetamu jadi serba salah. Malang sekali kerana ia berlaku depan ibu bapa sendiri tanpa sebarang usaha mencegah dan mendisiplinkan mereka. Tetamu pun berbasa basi dengan kata-kata biarlahhhh… budak-budak tahu apa? Ermmmm…

Setiap hari kami didatangi oleh berbagai-bagai tetamu atas pelbagai urusan. Ramai juga yang bertanya apakah rahsia RPWP dapat menundukkan anak-anak jagaan tatkala terlihat mereka mula menunjukkan tabiat yang kurang elok itu. Hanya dengan satu jelingan, satu tanda ‘psttt… ‘ anak-anak sudah faham dan berhenti serta merta. Demikian yang diluahkan oleh para tetamu yang memerhati dengan matahati yang tajam.

Ingin kami kongsikan bahawa asnaf yang diserahkan kepada kami bukanlah yang asalnya baik-baik belaka. Di kalangan kami juga ada banyak belang dan parut dalam sejarah kekeluargaan yang berbagai rupa. Ramai suami isteri yang tidak sefaham, sering bertelagah dan bercakaran. Ramai anak-anak yang menunjukkan sifat-sifat yang buruk, degil, tidak berdisiplin, tidak menyahut panggilan, tidak datang bila dipanggil, pemalas dan sebagainya. Kami cuba berfikiran positif dan menjadikan segalanya satu asbab untuk saling mengkaji dan membuat pembaikan.


AJARLAH ANAK SEJAK HARI PERTAMA KELAHIRANNYA

Anak-anak dilahirkan ibarat kain putih. Kitalah yang mencorakkannya. Bagaimana kita harus menggunakan sepenuhnya sensitiviti deria pendengaran dan pengelihatan untuk mendidik anak sejak hari pertama kelahirannya.

Perhatikan Surah 16. An Nahl 78. “Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibumu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatupun, dan Dia memberi kamu PENDENGARAN, PENGLIHATAN dan HATI, agar kamu bersyukur”.

Banyak kes anak yang tidak pekak dan bisu tetapi tidak pandai bercakap seolah-olah mereka bisu, hanya kerana dilahir dan dibesarkan oleh ibu bapa yang pekak dan bisu. Banyak kes anak yang cukup sifat namun lebih teruk dari orang cacat, pemalas dan tiada kreativiti sama sekali. Ini kerana pendengaran dan pengelihatan mereka tidak didedahkan untuk bekerja, menjadi rajin dan kreatif walaupun ibu bapa mereka rajin. Apatahlagi jika ibu bapa sendiri memang jenis pemalas atau pengotor.

Mungkin ramai yang tidak sedar bahawa proses pembelajaran dan pembentukan akhlak anak sudah bermula dari hari pertama kelahirannya. Tumpuan harus dilakukan khasnya dalam tahun pertama dan ke dua usia bayi itu. Inilah tahap awal yang kritikal di mana kita harus memperkenalkan diri kepada si bayi bahawa kita adalah pengatur mereka yang bertanggungjawab dan prihatin. Tunjukkan yang kita ingin mendidik mereka untuk menjadi anak yang bertanggungjawab dan peka.

Sewaktu bayi lahir, deria mata tidak berfungsi dengan baik lagi. Yang ada adalah deria rasa dan pendengaran. Bayi tidak boleh bertutur melainkan hanya berkomunikasi melalui bahasa tangisan dan gerak tubuh. Inilah tahap di mana kita harus meneliti dan menghalusi setiap respon yang ditunjukkan dalam bahasa tubuh dan tangisan bayi terhadap kita. Dengan itu kita mampu mengenali bayi kita dengan baik.

Al-Baqarah Ayat 146

الذين (orang-orang yang)
ءاتينهم (Kami telah berikan mereka)
الكتب (Al Kitab)
يعرفونه (mereka mengenalnya/arif)
كما (sebagaimana)
يعرفون (mereka mengenal/arif)
أبناءهم (anak-anak mereka)
وإن (dan sesungguhnya mereka)
فريقا (segolongan)
منهم (dari mereka)
ليكتمون (sungguh mereka menyembunyikan)
الحق (kebenaran)
وهم (dan mereka)
يعلمون (mereka mengetahui)

Al-An'am Ayat 20

الذين (orang-orang yang)
ءاتينهم (Kami berikan kepada mereka)
الكتب (Al-kitab)
يعرفونه (mereka mengenalnya/arif)
كما (sebagaimana)
يعرفون (mereka mengenalnya/arif)
أبناءهم (anak-anak mereka sendiri)
الذين (orang-orang yang)
خسروا (merugikan)
أنفسهم (diri mereka)
فهم (maka mereka)
لا (tidak)
يؤمنون (beriman)

Kata kunci yang ingin kami kongsikan dari ayat ayat di atas ialah AL-KITAB (yang merujuk kepada satu KETETAPAN) dan ARIF (sangat KENAL). Ingin kami mengajak pembaca memerhatikan juga mengapa kedua-dua ayat yang membawa mesej yang lebih kurang serupa ini diletakkan di SURAH HAIWAN, iaitu al-BAQARAH (sapi betina) dan al-AN’AM (binatang ternak).

Ringkasnya jika kita membela anak dengan tabiat haiwan, maka kita akan melupakan elimen pendidikan dan tarbiah sepanjang kita memelihara anak-anak kita. Kita hanya mementingkan makan minum dan menjadikan anak kita besar panjang sahaja. Namun pembangunan minda dan akhlak anak-anak kita akan terabai.


MENGENALI ANAK MELALUI TANGISAN DAN GERAK BADAN

Hasil kajian dan pengalaman kami terhadap subjek menunjukkan ramai ibu bapa yang kurang sensitif terhadap tangisan anak. Ramai yang sudah melahir dan membesarkan sehingga 8 orang anak masih tidak mampu mengenali bentuk tangisan anak sendiri. Kami rujuk pula perihal tangisan anak ini kepada fakta quran, sunnah dan sains

Inilah seni dalam memelihara anak yang tidak begitu ditekankan dengan penuh minat oleh para ibu bapa. Akhirnya kesemua anak-anak mereka membesar dalam pemeliharaan yang sebanding dengan haiwan ternak sahaja, atau mudahnya mereka tidak lebih dari menternak anak. Tiada unsur pendidikan yang diterapkan dengan teliti semasa memelihara anak itu.

Terlalu panjang jika ingin kami tuliskan jenis tangisan dan gerak tubuh anak di sini. InsyaAllah akan kami huraikan secara khusus pada siri parenting tips khas nanti. Cukuplah jika kami katakan ada banyak yang perlu diperhatikan terhadap bentuk tangisan dan gerak tubuh bayi ini ketika ia berumur 1-4 bulan, 4 bulan hingga setahun, 1-2 tahun dan seterusnya.

Antara contoh yang kita harus kenali ialah,

• Bagaimana bentuk, intonasi dan nada tangisan? Merengek? menjerit? selang seli? berterusan? Terkawal atau luar kawalan seperti sawan?
• Apakah iringan gerak tubuh waktu menangis? Menggeliat, menggaru kepala, menggosok mata, meronta-ronta?
• Apakah tanda lain atau perubahan pada tubuh mereka semasa bayi menangis? Contohnya kembung, kejang, badan jadi panas, mata jadi merah dan sebagainya.
• Anda juga harus tahu bila terakhir anak anda diberi susu atau makan? Bila terakhir anak anda buang air dan dibersihkan?
• Bila masanya anak anda tumbuh gigi?
• Adakah anda sendiri merasa panas dan rimas sehingga mungkin anak anda juga ikut merasa panas dan tidak selesa?
• Bagaimana mengenal tangisan mengada-ngada? Adakah air mata yang keluar semasa anak menangis?
• dan banyak lagi tanda-tanda.


KESILAPAN MERAWAT TANGISAN BAYI BOLEH MENJADIKAN ANAK DEGIL, LEMAH DAN DUNGU

Inilah yang menjadi penekanan dalam isu yang ingin kami ketengahkan. Hasil kajian kami menunjukkan ramai ibu bapa yang tidak kreatif dalam mengenal tangisan dan gerak tubuh bayi mereka, biarpun sudah ramai melahir dan membesarkan anak.

Sebelum anak mampu berkata-kata dan menggunakan komunikasi melalui kalam, ia belajar melalui alam. Tangisan dan jeritan anak adalah 'Universal Language', satu-satunya cara mereka menyampaikan mesej kepada ibu bapa. Secepat mana kita menyahut seruan atau doa mereka melalui tangisan itulah yang akan mendidik mereka untuk menyahut seruan dan panggilan kita secepat itu juga kemudian nanti. Itulah pendidikan awal yang sangat berbentuk alami bagi mereka. Tindakbalas kita sedang mengajar mereka tanpa kita sedar.

Kami menetapkan di RPWP jika boleh kita didik bayi kita dengan menyahut panggilan mereka melalui tangisan itu dengan kadar segera. Sebaiknya jangan sampai melebihi 10 saat. Rasakanlah kekesalan dan berdosa yang mendalam jika kita tidak dapat hadirkan diri untuk menenangkan anak yang diamanahkan kepada kita itu melebihi 30 saat setelah mendengar tangisannya.

Pada peringkat awal tangisan itu, anak masih dalam keadaan tenang dan sedar. Tangisan hanyalah merupakan bahasa mereka sahaja. Namun apabila anda gagal menghadirkan diri, maka intensiti tangisan itu akan bertambah. Akhirnya anda akan dapati anak anda akan seolah-olah marah kepada anda. Waktu ini minda anak akan jadi bercelaru, sangat beremosi dan penuh dendam. Inilah punca penyakit hati yang mula anda tanamkan ke jiwa mereka tanpa sedar.

Para saintis sepakat merumus bahawa habit membiarkan bayi menangis yang berpanjangan tanpa rawatan akan menyebabkan bayi mengalami berbagai bentuk tekanan (stress). Ini juga menjadi antara punca terhasilnya habitat anak yang dungu, degil, emosional, pemarah dan sebagainya.

Hormon stress yang dipanggil cortisol ini boleh terhasil dan terhimpun di otak bayi. Ia boleh merosak dan membantutkan pembangunan struktur penting otak mereka. Membiarkan anak terus menerus menangis juga akan merosak sistem saraf bayi. Ia boleh menjadikan mereka terlalu sensitif dan mudah mengalami trauma hanya dengan cabaran yang kecil. Ia juga memberi kesan yang besar kepada kemampuan anak untuk menerima maklumat pembelajaran dan berdarah gemuruh (nervous).

Kesan dari segi kesihatan pula akan menjadikan bayi ini anak yang mudah stress. Peningkatan tekanan darah dan nadi akan menyebabkan ketidak-stabilan bekalan oksigen, nutrisi, hormon dan antibodi dalam darah. Ini secara langsung menyebabkan anak menjadi kurang daya tahan dan mudah berpenyakit. Bahkan saintis telah menetapkan bahawa ia boleh memberikan kesan yang berat terhadap penyakit otak yang dipanggil ‘meningitis’. Mungkin ada kes terpencil yang tidak menepati ketetapan ini dan terserah samada kita mahu perjudikan nasib anak kita atau mahu mengikuti ketetapan dan petunjuk yang ada.


KESIMPULAN

Hasil kajian kami menunjukkan sesetengah ibu sengaja membiarkan anak mereka menangis begitu lama. Mungkin mereka sedang masak, membasuh, bergayut di talian atau bermuka buku. Mereka tidak sedar kesan dan bahaya yang terlalu parah dari segi kesihatan rohani dan jasmani yang bersifat kekal pada anak itu. SANG SUAMI yang sedar akan keadaan itu juga seperti tidak merasa bimbang dan tidak menegur isteri untuk berbuat sewajarnya terhadap anak mereka.

Nabi s.a.w. telah menyarankan, “belajarlah dari buaian sampai ke liang lahad”. Kelalaian kita menangani panggilan dan seruan bayi melalui tangisan mereka itu telah mengajar anak menjadi orang yang juga tidak bersegera apabila dipanggil, jadi bodoh, pemberontak dan degil. Sebaliknya, kita pula yang terpaksa mengikuti kehendak anak sebegini apabila ia besar nanti.

Demikianlah juga bagaimana Isa a.s. selaku nabi yang hebat telah dikisahkan mampu berbicara sejak dalam buaian lagi. Malangnya kita sebagai ibu bapa Islam ini tidak ada ilmu pengetahuan dalam mengenal bahasa universal anak itu lalu ianya berlalu menjadi satu pembaziran yang amat merugikan anak kita. Apa yang kita selalu rungutkan ialah tangisan itu memberi kesan negetif terhadap persekitaran, terhadap emosi jiran dan ibu bapa yang menjadi stress akibat tangisan anak. Kita tidak langsung fikir kesan negatif terhadap anak itu sendiri.

Ironinya, ibu yang jahil ini tidak mendapat pendidikan dan pembetulan yang penuh siyyasah dari para suami kerana mereka selaku abal hakam dalam keluarga juga jahil. Ramai suami yang membiarkan sahaja sang isteri berkelakuan yang ‘tidak wajar sebagai isteri’ tanpa teguran. Akhirnya isteri membentuk tabiat liar dan lagho. Isteri begini kemudiannya melakukan perkara yang sama terhadap anak, iaitu tidak sensitif dengan seruan bayinya. Isteri akhirnya terkontang-kanting mengendalikan segalanya dalam penuh kebingungan dan kesukaran. Maka terhasillah generasi anak-anak yang liar dan berkeliaran.

Kami ada terlalu banyak bukti. Anak-anak darjah 3-5 masih tidak kenal huruf, tidak pandai berbicara dan mengurus diri. Anak tingkatan 1- 4, yang baru kematian ayah setahun lalu tapi menjadi begitu dan begini. Sebenarnya semua itu sudah lama berlaku, semasa si ayah masih ada. Inilah hakikat anak yang yatim sebelum yatimnya. Oleh itu, mari kita pelihara anak kita dengan teliti, penuh minat dan kasih sayang seperti keluarga manusia. Jangan biarkan anak kita membesar sepertimana haiwan yang diternak untuk diherdik setelah kita tiada.

Kudap kudap
WARGA PRIHATIN

Wednesday, June 18, 2014

Muhammad Menulis Jawi

Oleh : Iryani Ahmad


Bismillah

Malam ini, ummi terpaksa berjaga mengenangkan mahu menyiapkan manuskrip projek buku kanak-kanak. Alhamdulillah, manuskrip ummi terpilih untuk siri sirah agama. Tulisan ini Ummi tujukan khas buat para Sheikh Ummi dan seramai boleh anak-anak Muslim terutamanya Melayu. Menariknya, buku ini dalam bentuk aplikasi moden. Hanya muat turun daripada Google Play dan dibaca di gajet canggih anda. Tidak perlu keluar ke kedai buku. Hanya di telefon sahaja. Mudah kan sekarang?

Bahan bacaan tentang kanak-kanak pada zaman Rasulullah S.A.W (baca selawat). 


Lawaknya, tarikh due kena hantar semalam. Hari ni baru kelam kabut nak buat. Cuit-cuit manja pengurusan masa yang semput bulan ini. Abi pergi belajar balik dalam kelas dari pukul 8 pagi hingga 2 pagi. Sebelum itu, penuh temu janji dengan jutawan hebat kami mahu belajar daripada mereka.



Kaya itu Mulia


Itu pesan cikgu. Kaya untuk mengkayakan orang lain. Kaya berjemaah. Ummi sedang ikut rapat 2 orang mentor jutawan muda untuk mencecah siling RM1juta. Selepas program IMKK, Abi banyak mendidik ummi tentang konsep paip wang. 


Ummi sedang menyediakan lebih banyak manuskrip untuk dihantar pada projek i-storybook. Hujung minggu ini, manuskrip ebook Bersalin Alami dan segala yang berselerak dalam file komputer akan dihantar terus di tangan penerbit. Bersedia untuk seterusnya. Ada hikmahnya malam ini terlepas kelas. InsyaAllah lain kali ya sohabati Sajid. Aku rindu kamu.



Menulis Jawi

Alhamdulillah, hari ini Ummi tidak membuka skrin. Petang tadi, Ummi ajak para Sheikh menulis menggunakan kapur. Subhanallah, Muhammad menconteng huruf hijaiyah sambil menuturkan bunyi yang betul. Sangka baik pada Allah sentiasa sangat penting seperti sahabat syurga Kak Lelen ajari. Ummi mula merasakan ajaib mengajar anak syurga seperti SpongeBox Menyerap Air. Nanti Ummi tuliskan entri tentang ini.


Jom Dhuha Platinum!

Saturday, May 31, 2014

Matematik Sedekah

Oleh : Iryani Ahmad


Minggu lalu, saya belajar tentang matematik sedekah. Inilah pelajaran matematik yang sebenarnya. Setelah bertahun-tahun bergelumang dengan buku, nota dan assignment matematik. Saya kira pelajaran ini seharusnya dipelajari semenjak sekolah rendah lagi.


Kebanyakan dari kita sudah tahu, sedekah yang dibelanjakan pada jalan Allah S.W.T akan dilipat gandakan. Sedekahkan apa yang paling disukai. Tapi pelik, selalunya kita rasa ragu-ragu.


Sedekahkan semua sekali. Saya ibaratkan dalam bentuk tiga situasi.


Ia ibarat bara api dan daging untuk dibuat sate. Jika baranya ada, tetapi daging tidak diletakkan pada tempatnya, maka sate tidak akan jadi.


Jika daging sudah diletakkan di tempat pemanggang, tetapi bara belum menyala, maka tetap sate tidak menjadi.


Jika daging sudah diletakkan di tempat pemanggang dan bara sudah menyala, tetapi kipasnya pula sangat perlahan. Sate dapat jadi sate tetapi sangatlah lama. Berjam-jam lamanya barulah jadi sate.


Kesimpulannya KIPAS kena laju. Maka cepat jadi sate dan cepat dapat makan.


Tamsilan bagi matematik sedekah. 




* Kena mengKIPAS Allah S.W.T. laju-laju iaitu menjaga hak-hak Allah S.W.T. Perkara wajib dipelihara, perkara sunat ditambah-tambahkan.

Friday, May 30, 2014

Macam-macam

Macam-macam kata carian google yang sampai ke blog saya.

Tapi, sedihnya kata carian mudah bersalin dah hilang.

Hilang terus.

Permainan ini saya sudah agak.

Antara kelemahan blog.

Wednesday, May 21, 2014

Sekali Nafas Semasa Meneran?

Teks : Iryani Ahmad


Alhamdulillah. InsyaAllah saya diberi kelapangan masa untuk cuba menjawab sedaya upaya persoalan yang ditanyakan di dalam email dan mesej di FB. Ada soalan yang lebih kurang begini 


" saya tidak tahu nak meneran dengan sekali nafas."

" saya tidak pandai meneran. Kena marah oleh nurse."

" saya sudah tidak ada tenaga semasa meneran."


Meneran? 

Sekali Nafas?

Apa semua ini?


Baiklah, topik ini ialah penjelasan meneran semasa mahu melahirkan bayi. Dikatakan meneran kerana sama sahaja meneran semasa mahu buang air besar. Tidaklah semudah itu kerana diiringi kontraksi yang berkali ganda kuat daripada sakit mahu berak.


Para jururawat veteran biasanya menggalakkan agar sekali nafas sahaja semasa mahu meneran. Tapi kalau dah nafas pendek, nak buat macam mana. Mereka khuatir kalau-kalau kepala bayi masuk semula ke dalam dan mengakibatkan kepala bayi tidak 'bulat'. Lebih dasyat lagi kalau lemas.


Pertama sekali bukan masalahnya kalau kepala bayi termasuk balik. Mereka tetap akan keluar daripada rahim. Kalau nak kepala bayi 'bulat' dan cantik digalakkan ibu menghembuskan nafas dengan sangat lembut dan tenang.


Jika pernafasan ibu lembut dan tenang, kepala bayi tersedut balik masuk ke dalam 'laluan kelahiran' sebanyak mana pun, insyaAllah akan dilahirkan dengan selamat. InsyaAllah tidak lemas seperti yang diwar-warkan banyak pihak.


Key point di sini adalah tenang dan pernafasan tenang. Bagaimana mahu bertenang semasa melahirkan bayi. Dush! Bagaimana mahu bertenang semasa melahirkan sedangkan sepanjang waktu seseorang itu juga selalu kelam kabut? Jadi, di sini adalah berlatih. Bertenang perlukan latihan. Teruskan latihan dan terapikan diri sendiri untuk sentiasa tenang pada semua keadaan.


Eh, tak percaya? Ingat tak pepatah, Tak Kenal Maka Tak Cinta. Belajar berlatih dahulu, lepas ini insyaAllah anda mesti suka sangat sebab rupa-rupanya agak mudah untuk bertenang pada situasi yang 'cemas'. InsyaAllah.



Di dalam bab 2 ebook Bersalin Alami, ada disertakan bagaimana panduan mudah mahu tenangkan diri. Teknik menghargai dan mensyukuri tekanan/ stress/ tertekan. 


* Gunting untuk menggunting kain. Sekian. Semoga Allah S.W.T meredhai.



Monday, May 19, 2014

Tension di Akhir Mengandung

Teks : Iryani Ahmad


Mak buyong semasa dah sarat jangan dikacau. Garang. Soalan apa pun tidak usah bertanyakan pada beliau. Nak ajak makan apa-apa pun sebaiknya fikir dua tiga kali. Kerana mereka mungkin akan makan banyak dua tiga kali mengenangkan akan berpantang makan macam-macam puluhan hari lamanya.Haha


Wahai mak buyong, entah apakah yang merunsingkan hati dan fikiran adinda?
Kegalauan apakah yang membuatkan engkau bermuram durja?


Macam-macam! Kau apa sibuk-sibuk!


Ha, kan dah bagitahu tadi jangan tegur. Garang! Macam mak singa.


Auummm....! Grrrrr....! Tunngu masa sahaja akan bertukar pula menjadi raksasa hijau The Hulk.



Semasa saya belajar di dalam kelas Hypnobirthing bersama Puan Nadine Ghows, rupa-rupanya ia normal. Tetapi akan jadi semakin teruk sekiranya perasaan stress membuku di dalam hati dan fikiran.


Walaupun sepanjang mengandung normal dan sihat, tetapi akibat penyakit hati yang bersarang, ia akan memberi kesan kepada hari bersalin nanti. Yes, ia penyakit hati. Saya belajar terapi bagaimana mahu bersyukur dengan perasaan stress/ tension/ geram dan seterusnya dapat dibuang jauh-jauh.


Penting bagi mak buyong supaya menjaga diri sendiri dan bayi di dalam kandungan. Pemakanan, perasaan, kesihatan dan macam-macam lagi. Mesti pujuk diri sendiri! Ini ayat untuk saya sendiri. Biasalah cuit mencuit perasaan, ini normal. Belajar untuk melepaskan. Menangislah kerana air mata sememangnya diciptakan untuk ditangisi. Itu dapat melembutkan hati. Pesan mama saya.


Impaknya, sampai sekarang kalau tiba-tiba rasa stress terus cepat-cepat cari ruang masa dan waktu, duduk sendirian dan buat terapi ini. Ia seiring dengan teknik pernafasan. Saya ada kupaskan tentang hal ini di dalam ebook Bersalin Alami. Bunuh stress ketika bersalin. Kena bunuh, supaya stress tak datang lagi.




Terapi inilah yang saya selalu promote pada kawan-kawan jika diaplikasikan dengan teknik yang betul, InsyaAllah bersalin tanpa rasa sakit, rasa seronok dan tenang dapat dilakukan. 


Di sini, kita akan temui 99 sifat Allah. Allah Yang Maha Kuat. Subhanallah. Tiada yang mustahil jika dengan izin Allah.

Saturday, May 17, 2014

Scan Baby

sumber
* gajah pun nak tahu dah berapa bulan dia pregnant. hihi



Monday, May 12, 2014

Bersalin di Rumah - Homebirth


Soalan:
Baru-baru ini berlaku kematian kepada ibu yang bersalin di rumah tanpa apa-apa sokongan perubatan. Al-Fatihah kepada ibu yang meninggal dunia itu. Persoalan saya, apakah hukum ibu yang memilih untuk sengaja bersalin di rumah tanpa apa-apa sokongan perubatan, kerana saya perhatikan perkara ini semakin mendapat perhatian di Malaysia.

Jawapan:
Apabila ada orang meninggal dunia, maka yang diajar oleh al-Qur’an dan al-Sunnah ialah mengucapkan takziah, umpama berdoa “Semoga Allah mengampuninya, merahmatinya dan memberikan kedudukan mulia seorang ibu yang syahid”. Atau mengucapkan “Inna lillah wa inna ilaihi rajiun” yang bermaksud “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.”  [al-Baqarah 2:155-157]
Membaca surah al-Fatihah kepada orang yang meninggal dunia atau menyebut “al-Fatihah” apabila mendengar berita kematian hanyalah kebiasaan masyarakat kita. Apa yang benar ialah membaca surah al-Fatihah sebagai jampi-jampian (ruqyah) kepada orang yang sedang sakit, bukan selepas dia meninggal dunia. Pada zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, ada sahabat yang membacakan surah al-Fatihah kepada seorang ketua kabilah yang terkena sengatan kala jengking dan Allah menyembuhkannya. Perkara ini dikhabarkan kepada Rasulullah dan baginda mengatakan ia adalah tindakan yang betul. [Shahih al-Bukhari, no: 5295/5736]
Adapun hukum bersalin di rumah tanpa apa-apa sokongan perubatan, hadis sahih berikut menjadi rujukan. 'Atha` bin Abu Rabah berkata, Ibn Abbas pernah berkata kepadaku: “Mahukah aku tunjukkan kepadamu seorang wanita dari penduduk surga?” Jawabku: “Tentu.”
Dia berkata: “Wanita berkulit hitam ini, dia pernah menemui Nabi shallallahu 'alaihi wasallam sambil berkata: "Sesungguhnya aku menderita sakit sawan dan auratku sering tersingkap (ketika diserang sakit sawan), maka berdoalah kepada Allah untukku.”
Baginda bersabda: “Jika kamu mahu, bersabarlah maka bagimu surga. Dan jika kamu mahu, aku akan berdoa kepada Allah agar Allah memberikan kamu kesihatan yang baik.”
Dia berkata: “Aku (memilih untuk) bersabar.” Wanita itu berkata lagi: “Namun berdoalah kepada Allah agar (auratku) tidak tersingkap.” Maka baginda mendoakan untuknya.” [Shahih al-Bukhari, no: 5220/5652]
Berdasarkan hadis ini, hukum mendapatkan rawatan ketika sakit adalah harus, terpulang kepada pilihan masing-masing. Wanita yang menderita penyakit sawan memiliki pilihan untuk merawat dengan Rasulullah di mana apabila Rasulullah mendoakan kesembuhan kepadanya, pasti Allah akan sembuhkannya. Wanita tersebut tidak perlu berjumpa dengan sesiapa lain untuk dapatkan rawatan, makan ubat-ubatan atau menunggu tempoh yang lama untuk sembuh. Meskipun demikian, dia memilih untuk bersabar kerana inginkan syurga Allah.
Ini kerana penyakit adalah daripada Allah Subhanahu wa Ta'ala sebagai satu bentuk ujian. Sesiapa yang sabar kepada ujian Allah, maka baginya ganjaran daripada Allah. Sesiapa yang tidak mampu bersabar, maka dibolehkan baginya mendapatkan rawatan. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sering merawat para sahabat lain yang sakit sama ada dengan doa, jampi-jampian atau menyarankan ubat-ubatan seperti madu dan habbatus saudah.
Oleh itu ibu yang akan bersalin juga memiliki pilihan sama ada untuk bersalin di rumah tanpa apa-apa sokongan perubatan dan bersabar ke atas apa-apa kerumitan yang mungkin Allah turunkan sebagai ujian. Boleh juga bersalin di hospital dengan sokongan doktor dan alat-alat perubatan. Dalam perkara ini terdapat kelapangan dan keluasan, maka janganlah disempitkan dan disukarkan.
Walau bagaimanapun ibu yang memilih untuk bersalin tanpa apa-apa sokongan perubatan hendaklah terlebih dahulu menilai kemampuan dirinya untuk bersabar. Ini kerana boleh jadi seseorang itu pada awalnya bersabar, namun apabila diuji dengan kerumitan maka dia dan ahli-ahli keluarga mula merungut dan hilang kesabarannya terhadap Allah.
Selain itu ibu yang memilih untuk bersalin tanpa apa-apa sokongan perubatan dianjurkan mengikuti kelas-kelas persalinan supaya dia dan suami memiliki ilmu yang asas dalam perkara ini.
Tidak kurang penting ialah ibu tetap dianjurkan membuat pemeriksaan bulanan di hospital atau klinik. Jika terdapat tanda-tanda awal kerumitan sama ada bagi pihak ibu atau bayi, maka hendaklah bersalin dengan sokongan doktor dan perubatan. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman: Dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu. [al-Nisa’ 4:29]
Kesimpulannya, hukum bersalin tanpa apa-apa sokongan perubatan adalah harus dengan syarat mampu bersabar dan sejak awal tidak ada apa-apa tanda kerumitan. Jika sejak awal sudah dikesan tanda-tanda kerumitan, maka hukum bersalin tanpa apa-apa sokongan perubatan berubah menjadi makruh atau haram, bergantung kepada kadar kerumitan tersebut.
Pun begitu, saya lebih cenderung agar para ibu memilih untuk bersalin dengan bantuan doktor dan perubatan. Pihak doktor dan hospital sentiasa sedia membantu meskipun mereka menghadapi pelbagai kekangan yang tidak kita fahami sebagai orang luar.
- See more at: http://hafizfirdaus.com/index.php/kolum-bulanan-mainmenu-110/majalah-pa-a-ma-mainmenu-120/soal-jawab-agama-mainmenu-103/937-bersalin-di-rumah#sthash.GVrWEyQx.dpuf

Wednesday, April 30, 2014

Bakal Terbit

Bismillahirrahmanirrahim

InsyaAllah. Bakal terbit, Bersalin Alami.


Monday, April 21, 2014

Amalan Mudah Bersalin dalam Islam

Teks : Iryani Ahmad


Memandangkan tajuk blog sudah diubah kepada Bersalin dengan Tenang. Kali ini akan dikongsikan petua mudah bersalin daripada Tuan Guru Pondok Pasir Tumboh, Tuan Guru Hj Hashim



Sentiasa membaca doa ini :
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْمِ
أُعِيْذُهُ بِالوَاحِدِ الصَّمَدِ         مِنْ شَرِّ كُلِّ ذِى حَسَدٍ
Maksudnya : Aku berlindung akannya dengan pertolongan Tuhan yang Esa yang ditumpu segala kehendak kepadaNya daripada sekalian yang mempunyai dengki

* Sekurang-kurangnya dibaca sebanyak 10 kali setiap kali lepas solat 5 waktu

Cara dapat anak lelaki atau perempuan(amalan tradisi masyarakat China)
  1. Jika mahu anak lelaki maka semasa bersetubuh dengan isteri sekiranya dimulakan dengan sébelah kanan maka hendaklah turun di sébelah kiri selepas setubuh atau sekiranya dimulakan dengan sébelah kiri maka hendaklah turun di sébelah kanan selepas setubuh
  2. Jika mahu anak perempuan maka semasa setubuh sekiranya dimulai dengan sébelah kanan maka turun pun sebelah kanan selepas setubuh begitulah sebaliknya
  • Ini hanya sebagai suatu usaha dan ikhtiar. Jangan lupa bertawakkal menyerah diri kepada Allah

SUMBER

Wednesday, April 9, 2014

Merawat Demam Menurut Kaedah Islam

oleh: Ustaz Wahid Abd Haniff ( wahid@telagabiru.net.my )
Sumber : http://www.telagabiru.net.my/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=254:kaedah-merawat-demam-menurut-islam&catid=42:artikal&Itemid=367

Setiap ujian dan musibah yang Allah s.w.t. timpa kepada hamba-Nya yang sabar dan reda, akan diberi pahala yang besar. Sebagaimana sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Darimi daripada Abdullah bin Amr, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Tidak seorang pun daripada kaum Muslimin yang terkena musibah pada jasadnya, kecuali Allah memerintahkan malaikat penjaga yang menjaganya seraya berfirman, “Tulislah untuk hamba-Ku ini, setiap hari dan malam kebaikan seperti kebaikan yang biasanya dia lakukan ketika dia tidak terkekang dengan belenggu-Ku.”
Abu Hurairah r.a berkata: “Tidak ada penyakit yang menimpaku yang lebih aku sukai daripada demam, sebab demam merasuk setiap organ tubuhku, dan Allah s.w.t. akan mengurniakan pahala bagi setiap organ tubuh yang diserang demam.”
Sejukkannya dengan Air
Hadis riwayat al-Tirmizi dalam Jami’nya menerusi hadis Rafi’ bin Khudaij secara marfu’ meriwayatkan: “Apabila salah seorang di antara kamu diserang demam dan demam itu adalah percikan api neraka, maka hendaklah dipadamkan demam itu dengan air sejuk dan hendaklah berendam di dalam sungai yang mengalir. Hendaklah ia mandi selepas fajar (subuh) dan sebelum terbit matahari. Dan hendaklah ia mengucapkan:
Maksudnya: “Dengan nama-Mu ya Allah, sembuhkanlah penyakit hamba -Mu dan benarkan bimbingan Rasul-Mu.”
Lalu berendam sebanyak tiga kali selama tiga hari berturut-turut. Jika sembuh, alhamdulillah. Jika belum sembuh juga, ulangi hingga lima hari. Jika belum sembuh juga, maka tujuh hari. Biasanya tidak pernah lebih dari tujuh hari, dengan izin Allah.
Daripada Rafi’ bin Khadij r.a., bahawa dia mendengar Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya demam itu merupakan legakan api neraka jahanam, maka sejukkanlah ia dengan air.” (Riwayat Muslim no. 5889)
Begitu juga sebuah hadis daripada Ibn Umar r.a., bahawa Nabi s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya demam itu atau demam yang berat itu berpunca daripada bahang api neraka. Jadi, sejukkanlah ia dengan air.” (Riwayat Muslim no. 5882)
Membaca Ruqyah
Rasulullah s.a.w. juga menyarankan agar membaca doa-doa yang disyariatkan untuk mengubati demam juga penyakit-penyakit yang lain. Dalam sebuah hadis riwayat Imam al-Tirmizi, daripada Abdullah bin Abbas, bahawa Rasulullah s.a.w. pernah mengajar mereka doa sebagai ruqyah (jampi) apabila ditimpa demam panas iaitu:
Maksudnya: “Dengan nama Allah yang Maha Besar, aku berlindung kepada Allah yang Maha Agung daripada kekejangan urat dan keperitan kepanasan api.”
Imam al-Baihaqi juga ada meriwayatkan sebuah hadis iaitu daripada Anas r.a. kata: “Rasulullah s.a.w. menemui Aisyah r.ha. ketika Aisyah terkena penyakit demam panas seraya berkata, “Jangan mengeluh, kerana ia diperintahkan. Tetapi jika kamu mahu akan aku ajari beberapa bacaan yang jika kamu membacanya Allah akan menghilangkan sakit itu daripadamu.’ Aisyah berkata: ‘Ajarilah aku.’ Baginda bersabda:
Maksudnya: “Ya Allah, kasihanilah kulitku yang nipis dan tulangku yang lembut daripada panasnya kebakaran.”
“Ya Ummu Mildam (demam), jika kamu beriman kepada Allah Yang Maha Agung, maka janganlah kamu memeningkan kepala, membuatkan mulut berbau, jangan menyedut darah tetapi sebaliknya palingkan diriku kepada orang yang menjadikan Allah sebagai tuhan.” Lalu Aisyah mengucapkan kalimah itu hingga rasa sakitnya sembuh. Dalam satu riwayat ada tambahan, “Sesungguhnya saya bersaksi tidak ada Tuhan selain Allah dan Muhammad adalah hamba dan Rasul-Nya.”
Berpunca daripada Bahang Neraka?
Menurut Ibn Qayyim al-Jauziah, maksud ucapan Nabi s.a.w. “demam itu berpunca daripada bahang neraka jahanam” iaitu panas demam yang bergejolak sepertimana Rasulullah s.a.w. pernah mengucapkan dalam hadis yang lain, “Panas matahari yang terik berpunca daripada bahang jahanam.”
Di sana ada dua pendapat yang menjelaskan kedua-dua hadis tersebut. Pendapat pertama menyatakan bahawa panas tersebut merupakan satu bayangan kepanasan neraka jahanam agar para hamba Allah menjadikannya sebagai iktibar atau pengajaran. Kemudian Allah sembuhkan sebagai bandingan kebahagiaan, keceriaan, kegembiraan serta nikmat hidup dalam syurga yang Allah s.w.t.
Manakala pendapat kedua pula menyatakan hadis tersebut merupakan perumpamaan. Allah s.w.t. mengumpamakan panas demam yang bergejolak seperti bahang jahanam. Allah s.w.t. juga mengumpamakan terik matahari dengan bahang neraka jahanam untuk mengingatkan manusia akan panasnya bahang seksa neraka. Panas yang menyengat itu diumpamakan sebagai bahang api neraka. Orang yang menghampirinya akan terasa bagaikan disentuh panas tersebut.
Maksud Air
Ucapan Nabi s.a.w. “sejukkanlah ia dengan air” juga terdapat dua pengertian. Pertama bermaksud segala jenis air. Demikianlah pengertian yang hampir kepada benar. Kedua, air zamzam. Mereka yang berpendapat air zamzam bersandarkan kepada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dalam Sahihnya, daripada Abu Jamrah Nashr bin Imran al-Dhuba’i bahawa ia bercerita: “Aku pernah duduk dalam majlis Ibn Abbas di Kota Makkah, tiba-tiba aku diserang demam. Kemudian Ibn Abbas berkata, ‘Sejukkan dengan air zamzam kerana Rasulullah s.a.w. bersabda (yang bermaksud), ‘Sesungguhnya demam itu atau demam yang berat itu berpunca daripada bahang api neraka jahanam. Oleh sebab itu, sejukkanlah ia dengan air.’ atau Baginda s.a.w. menyebut, ‘Air zamzam.’”
Manakala orang yang berpendapat segala sejenis air juga terdapat perbezaan pendapat. Ada yang mengatakan air yang disedekahkan kepada orang lain. Ada juga yang berpendapat air itu hendaklah digunakan dalam rawatan. Dalam dua pendapat ini, pendapat yang utama adalah air itu hendaklah digunakan untuk disedekahkan kerana memberi seteguk air kepada orang yang dahaga adalah perbuatan yang amat terpuji.
Walau bagaimanapun yang lebih masyhurnya maksud sebenar hadis itu adalah air itu mestilah digunakan untuk rawatan. Abu Nu’aim, seorang ulama ada menulis Hilyat al-Auliya dan disahkan ulama bahawa ada hadis yang berdarjat marfu’ bermaksud: “Jika salah seorang di antara kamu demam, hendaklah ia menyiram tubuhnya dengan air sejuk selama tiga malam pada waktu fajar.” (Riwayat al-Nasa’i dan al-Hakim)
Di dalam kitab Sunan Ibn Majah daripada Abu Hurairah r.a. secara marfu’ menyebut: “Demam itu berasal dari peniup tungku jahanam, maka hapuskanlah ia dengan air sejuk.” Menurut Imam al-Sindi dalam menghuraikan Sunan Ibn Majah berkata, “Hadis tersebut sahih dan para perawinya boleh dipercayai.” Yang dimaksudkan dengan peniup tungku adalah peniup tungku tukang besi yang dibangsakan kepada neraka ini dalam bentuk kiasan sahaja.
Dalam Musnad dan selainnya menerusi hadis al-Hasan daripada Samurah dengan darjat marfu’ bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Demam adalah sebahagian daripada pakaian api neraka, maka sejukkanlah ia menggunakan air.” Dan adalah Rasulullah s.a.w. sendiri apabila demam, Baginda s.a.w. meminta diambilkan air lalu Baginda jiruskan ke kepala Baginda, kemudian Baginda mandi.” (Riwayat al-Hakim, al-Tabrani dalam al-Ausat serta al-Bazzar)
Jangan Mencela Demam
Di dalam kitab al-Sunan daripada Abu Hurairah r.a. bahawa ia berkata: “Suatu ketika ada orang membicarakan mengenai demam dekat Rasulullah s.a.w., tiba-tiba seorang lelaki mencela penyakit tersebut. Rasulullah s.a.w. bersabda (yang bermaksud): ‘Jangan mencela demam sebab demam dapat menghapuskan dosa sebagaimana api melenyapkan karat daripada besi.’” (Riwayat Ibn Majah)
Menurut riwayat sebuah athar iaitu, “Demam sehari boleh menghapuskan dosa setahun.”
Riwayat ini ada yang difahamkan bahawa demam itu meresap ke dalam setiap anggota tubuh dan sendi-sendinya. Manakala jumlah sendi-sendi tubuh adalah sebanyak tiga ratus enam puluh. Justeru, demam itu dapat menghapuskan dosa sejumlah sendi-sendi tersebut dalam sehari.
sumber: SOLUSI

Friday, April 4, 2014

Cinta Melahirkan Cinta

Teks : Iryani Ahmad


Asal cinta berasal daripada syurga dan diturunkan ke bumi. Allah swt mempunyai 99 kecintaan dan telah diturunkan satu kecintaanNya ke muka bumi. 1% kecintaan milik Allah ini dikongsikan kepada seluruh makhluk di bumi sehinggakan seekor harimau sanggup menyembunyikan kukunya yang tajam demi melindungi anaknya. Seorang suami tempat berlindung dan isteri yang mengasihi suaminya sepenuh hati.  Seekor penguin jantan yang sanggup berlapar 4 bulan tanpa makan minum demi menjaga anaknya.   


Maka, bersalin ialah suatu proses yang seharusnya dilakukan penuh dengan perasaan cinta. Ia semulajadi di bawah undang-undang Allah swt. Tiada penggunaan teknologi dan interversi perubatan moden pada si ibu dan bayi yang bakal dilahirkan. Kelahiran secara semulajadi yang sudah Allah swt tetapkan ini adalah membenarkan bayi itu dilahirkan pada masanya dengan perasaan penuh kasih sayang . Selain itu, tiada penggunaan dadah dan ibu dapat melahirkan bayi dalam keadaan paling tenang, selesa dan hati yang dipenuhi cinta.





Biarlah orang lain yang kelam kabut, apa yang paling penting ibu yang melahirkan berada pada keadaan paling tenang dan berdebar-debar mahu bertemu si cinta hati. Tenang seperti sedang berehat-rehat sahaja dan tiba-tiba bayi keluar sendiri di bawah! Cinta dari mata turun ke hati ialah cinta ibu yang pertama kali melihat bayinya. Inilah cinta kurniaan Ilahi.  

Thursday, April 3, 2014

Siapa Berhutang dengan Saya?

Teks : Iryani Ahmad



Assalamualaikum wbt.



Bismillah. Allahumma Solli 'Ala Sayyidina Muhammad wa 'Ala Alihi wa Sohbihi wa Sallim.






Saya akan buat post ini di atas sekali hingga beberapa tempoh.



Saya mahu anda. Siapakah?



Saya ingin menyeru kepada sesiapa sahaja yang :


  • Pernah membuat transaksi apa-apa sahaja dengan saya.
  • Pernah berurusan duit dengan saya. 
  • Pernah berurusan apa-apa jual beli dengan saya. 
  • Samada secara offline, online, berhadapan, di belakang atau apa-apa sahajalah.




Sekiranya ada duit yang anda tak halalkan, sila bagitahu saya. Saya mahu pulangkan duit anda. Sila nyatakan. Tak payah segan-segan. Saya sungguh-sungguh mahu pulangkan.

Boleh hubungi saya di sms atau email.


Saya berusaha tidak mahu ada hutang dengan sesiapa pun. Saya mahu kembali dengan jiwa yang bersih. Bersih sebagai hamba kepada-Nya. 


Saya juga sudah halalkan semuanya. Sekiranya anda mahu pulangkan kembali kepada saya. Silakan. Itu lebih baik. Sekiranya malu, sila pulangkan hak itu kepada Allah. Berikan kepada anak yatim.


Dan tepatilah perjanjian dengan Allah apabila kamu berjanji dan janganlah kamu membatalkan sumpah-sumpah itu sesudah meneguhkannya….” (An-Nahl: 91)


Dan penuhilah janji, sesungguhnya janji itu pasti dimintai pertanggungjawabannya.” (Al-Isra`: 34)


Anda tahu siapa diri anda. 




"Sebagai manusia, saya sayang anda."- Laksamana Sunan

Monday, March 24, 2014

Petua Mudah dan Senang Bersalin

Teks : Iryani Ahmad
Gambar : Google



Ombak Kontraksi

Bagi bakal ibu yang pertama kali akan merasakan nikmat sakit bersalin, kesakitan itu akan datang dan pergi seperti ombak laut. Malah ombak kontraksi yang datang seterusnya adalah lebih kuat dan menyakitkan. Tak usah lawan. Cukup hanya tenangkan diri. Bertuahlah wanita kerana setiap kesakitan itu menghapuskan dosa kita yang lalu. Saya akui memang sangat menyakitkan. Namun, ia dapat diatasi dengan persediaan fizikal, mental dan rohani yang cukup.




Persediaan fizikal, mental dan rohani

Persediaan fizikal adalah persediaan tubuh badan menempuh hari bersejarah untuk bergelar seorang ibu. Sejauh mana tubuh badan kita dah bersedia. Allah SWT sudah menciptakan tubuh badan wanita sangat sempurna dan lengkap dalam perjuangan melahirkan seorang manusia di muka bumi ini. Namun, sang ibu juga perlu bersedia sebelum pergi berperang berjuang di medan jihad melahirkan seorang bayi. Jika tidak, kita akan berasa sangat sakit hingga emosi dan mental akan terganggu seterusnya meninggalkan rasa trauma dalam diri, tidak mahu lagi mengandung dan melahirkan anak selepas ini.

Apa yang saya lakukan adalah senaman di bahagian pelvis. Lakukan yang mudah seperti menumbuk sambal di lesung batu sambil mencangkung. Tiada penggunaan blender sepanjang mengandung. Ia sangat memberi manfaat pada kekuatan otot pelvis dan perineum.

Persediaan mental dan rohani pula bermaksud sejauh mana kebergantungan si ibu pada Allah SWT. Sepanjang mengandungkan bayi sejauh mana penghayatan ibu pada amalan-amalan yang dapat mendekatkan dirinya pada Allah SWT. Tenggelam pada nikmat zikir dan selawat atas Nabi SAW hingga kesakitan ketika bersalin tidak dirasai sama sekali. Teknik pukaukan diri dengan zikrullah ini harus dilatih sejak awal mengandung lagi. Perkara ini tidak mustahil boleh dilakukan pada diri kita yang biasa-biasa sahaja ini.

Melalui pengamatan yang sangat kerdil ini, kini kebanyakan ibu muda suka memilih hospital swasta yang paling canggih/popular (baca : paling mahal). Mungkin pada pandangan mereka, hospital tersebut dapat memberikan servis yang terbaik. 

Fakta yang amat mengejutkan, skala ibu dibedah sewaktu melahirkan terutama pada waktu bekerja normal (8 pagi hingga 5 petang) adalah paling tinggi di negara membangun dan maju. Tak percaya sila lihat laporan ini di sini


Ternyata melahirkan bayi bukan tugas doktor atau bidan semata-mata. Ilmu dalam bidang ini jika dipelajari dan dikaji bersungguh-sungguh ternyata mampu menjadikan semua ibu berani untuk melahirkan bayi mereka di mana-mana malah berani bersalin seorang diri!





Tiada yang mustahil bagi Allah. Allahuakbar! 




Pengalaman Pertama

Izinkan saya menceritakan pengalaman bersalin. 

Pengalaman ketika menunggu waktu untuk melahirkan anak pertama sangat mendebarkan. Orang kata sakit sangat. Ada orang lain kata seperti sakit senggugut tapi 10 kali ganda lebih dasyat. Aduhai, berdebar sangat rasa apatah lagi masa tu kandungan dah mencecah 38 minggu.


Selepas keluar tanda bersalin iaitu tompokan darah yang sedikit, suami bawa ke hospital. Malangnya hospital di Putrajaya dan sekitarnya tidak terima masuk sekiranya bukaan serviks di bawah 3cm. 

"Bagaimana nak tahu bukaan serviks itu sudah 3cm dan lebih?" 

Begitulah soalan saya kepada doktor. Kira-kira sudah 3 kali saya asyik berulang alik ke hospital kerana menyangkakan sudah hampir bersalin. Pada masa tu, dah mula rasa perut kejang dan sakit.

Justeru kami terus ambil keputusan mahu pulang ke kampung. Dalam perjalanan, saya elok sahaja. Tak pula sakit. Pada tengahari keesokan harinya, saya pergi ke Hospital Pontian dan diterima masuk ke sana. Jururawat suruh masuk sahaja lagipun di dalam wad lengang sahaja. Duduk-duduk rehat katanya.

Memang betul saya duduk-duduk rehat sahaja. 2 hari 2 malam bercuti di hospital. Makan, tidur, baca Al-Quran dan solat apabila tiba waktu solat. Sekali sekala saya dukung bayi yang baru dilahirkan. Cium kuat-kuat. Comel! Subhanallah...

Kesakitan yang Tenang

Kisah semangat ini bermula apabila rakan sebilik saya yang juga seorang ustazah mahu melahirkan anaknya yang ketiga. Pada malam kedua saya di sana, beliau memberitahu saya akan gerak hatinya mahu melahirkan anaknya pada malam ini. Hati ibunya gelisah kerana sudah 2 hari meninggalkan rumah. Apa cerita pada 2 anaknya yang lain itu.

Saya melihatnya hanya terbaring mengiring sahaja. Kadang-kadang duduk mahu minum air. Beliau mengiring ke arah saya. Saya melihat wajahnya dengan jelas. Beliau selalu menutup matanya. Tapi bukan tidur. Beliau sedang bercerita pada saya akan nikmatnya menjadi seorang ibu. Saya sedang mendengar ceramah agama 'live' daripada seorang ibu yang bertarung kesakitan mahu melahirkan anak! 


Saya teringat-ingat wajahnya yang manis itu. Banyak tersenyum apabila berkata-kata. Tiba-tiba beliau turun dari katil dan segera betulkan kainnya. Kainnya basah! Baru saya tahu itulah air ketuban. Banyak hingga menitik ke lantai. Saya tawarkan diri mahu memanggil jururawat. Ketika itu sudah pukul 4 pagi. Kami tak tidur malam itu. Beliau menolak kerana mahu berjalan sendiri. Beliau jalan perlahan-lahan.

Saya hanya melihatnya berjalan sehingga beliau masuk ke bilik bersalin. Tak sampai 15 minit, saya terdengar suara bayi menangis.

Allahuakbar!

Selepas subuh, apabila beliau masuk sahaja ke bilik, saya dengan tak sabarnya bertanya padanya dengan soalan bertalu-talu.

"Akak, senangnya bersalin! Tak sakit ke?" 

Beliau tersenyum sahaja. Beliau berdoa semoga saya bersalin sebelum beliau dibenarkan keluar. Beliau mahu membimbing saya.

Tengahari itu juga saya sudah terasa sakit. Sakit yang tak pernah dialami sebelum ini. Menggeletar gigi dan seluruh tulang mahu menahan rasa sakit ini. Air mata keluar tanpa sedar.

Pukau

Kakak sebilik tadi terus menerus memukau saya dengan alunan zikir. Beliau menyuruh saya berzikir bersama-sama. Kata-kata nasihat terus menerus masuk ke telinga saya. Masyaallah, sampai sekarang masih terngiang-ngiang nasihatnya sepanjang tempoh paling getir dalam hidup saya.

Pada masa inilah, kurma masuk ke mulut saya terus menerus. Sentiasa mengunyah kurma sepanjang masa. Apabila dahaga, minum air masak sahaja. Begitulah pesannya.

Bersalin

Alhamdulillah, suami dapat menemani saya ketika di dalam bilik bersalin. Rupa-rupanya bayi saya berada pada kedudukan mendongak. Maka, saya mengambil masa 1 jam ketika proses mahu meneran. Sangat lama. Alhamdulillah, jururawat bagi saya masa dan tak paksa ketika proses mengeluarkan bayi. 

Saya rasa bertenaga pada waktu tersebut. Malah, sehingga waktu selepas melahirkan. Saya aplikasikan juga teknik memakan kurma semasa mahu melahirkan anak kedua. MasyaAllah, kali ini lebih bertenaga. Yelah, 2 kotak kurma saya makan. 

Rasa bersalin kali kedua, perasaannya sama sahaja seperti selepas membuang air besar. Tak sakit dan rasa lega sangat kat perut! Boleh baca cerita saya bersalin anak kedua di sini. Tetapi, awas ceritanya sangat panjang berjela.

Subhanallah. Segala pujian hannya milik Allah SWT.

Khasiat Kurma

Allah SWT telah memerintahkan Maryam supaya memakan kurma ketika sedang sakit dan lemah ketika mahu bersalin dalam surah Maryam ayat 25. Kajian sains telah membuktikan bahawa memakan kurma bukanlah budaya Arab semata-mata ataupun hanya sesuai untuk cuaca beriklim panas sahaja. Kurma adalah ubat terbaik bagi wanita yang sedang sakit mahu melahirkan anak mengatasi ubat dadah yang mengakibatkan pelbagai kesan sampingan lain.

Boleh baca lagi tentang khasiat kurma di sini. Artikel bertajuk Khasiat Kurma.

Menjadikan diri sendiri sebagai testimoni kerana memakan kurma sepanjang proses melahirkan anak. Dalam perkataan yang lebih mudah, penawar ketika sakit kontraksi adalah kurma. Badan yang letih menahan kesakitan demi kesakitan sepanjang proses kelahiran bayi dapat saya atasi dengan makan kurma. 

Kurma menyumbang tenaga dengan serta merta. Tubuh terus kekal bertenaga dan terasa segar menempuh kesakitan demi kesakitan. Sejurus selepas bayi dilahirkan, lebihan kurma di dalam mulut ibu boleh terus dioleskan sedikit ke dalam mulut bayi, ia dinamakan tahnik. Sebaik-baiknya dilakukan sebelum bayi menyusu ibu buat pertama kali. Rujukan daripada buku Tarbiatul Aulad Fil Islam karangan Syeikh Nasih Ulwan.


 * Testing